RICH berduet dengan Fazura menyampaikan lagu Hancur Aku.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kumpulan Estranged pernah mengecapi populariti apabila bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-22 pada 2008 menerusi lagu Itu Kamu. Sayangnya mereka alpa dengan apa yang diraih sehingga mengabaikan karier.

Empat tahun masa terbuang dan baru kini Estranged tampil dengan album berjudul Sepenuhnya Volume 1 yang memuatkan lima lagu iaitu Bangkit, Hancur Aku, Inginkan Kau, Maaf dan SyD.

Ditemui pada pelancaran album terbabit baru-baru ini, band yang dianggotai Rich selaku vokalis, Rich dan Din (gitar) serta Hanafi (bass) mengakui kesilapan itu dan mahu fokus semula.

“Saya akui Estranged perlu bekerja kerana kerana sudah bazirkan banyak masa. Sebelum ini kami alpa, malah hala tuju muzik kami tidak sehaluan kerana tiada persefahaman.

“Syukur masalah ini berjaya diatasi dan kami sudah ada matlamat. Ia sekali gus memudahkan kami merancang langkah seterusnya.

“Kami kena pandang ke depan dan tidak mahu lagi kenang kisah lalu,” katanya.

Album Sepenuhnya Volume 1 dirakam pada Mac tahun lalu dan me­ngambil masa lama untuk disiapkan kerana mahu

berikan yang terbaik buat peminat.

Menurut Din, kehadiran album itu ibarat kemunculan semula Estranged di gelanggang seni tanah air.

“Ada beberapa faktor menyebabkan album ini ambil masa untuk siap. Kali ini pembikinannya lebih teliti terutama pemilihan lagu.

“Memandangkan kolek­si lagu yang ada kurang memikat, kami terpaksa cari material baru. Kami mahu lagu yang apabila peminat dengar, mereka tahu itu lagu Estranged.

“Hasil kerja keras terhasillah muzik rock moden yang ada suntikan elemen Kadazan dan Borneo,” katanya.

Selepas ini, Estranged akan tampil dengan album berjudul Volume 2 pula dan mereka selesa menyanyikan lagu dalam bahasa Malaysia.

“Sebelum ini, kami ada rakam lagu Inggeris, tetapi impaknya tidak sebesar lagu Bahasa Malaysia. Urusan promosi dan pemasaran album ini dilakukan Universal Music Malaysia dan Singapura.

“Saya percaya mereka mahu menaikkan semula nama Estranged. Mereka juga mahu bawa nama kami ke luar negara,” kata Rich.

Buat masa ini, Estranged selesa kekal bertiga selepas pengunduran pemain dram, Andy pada Ogos tahun lalu.

Pilih Fazura

Estranged tampil dengan single pertama berjudul Inginkan Kau pada Julai tahun lalu dan kini popular dengan single Hancur.

Istimewanya, lagu ini turut menampilkan Fazura sebagai penyanyi undangan.

“Kami menyenaraikan beberapa penyanyi wanita dan mendapati Fazura mempunyai keistimewaan tersendiri. Ternyata dia berjaya menyampaikan lagu ini dengan baik,” kata Rich.

Fazura pula mengakui gembira dapat berkolaborasi dengan kumpulan itu.

“Mereka datang kepada saya dan memaklumkan mahu hasilkan lagu duet. Saya buat latihan demi latihan sehingga dapat ‘feel’ untuk nyanyikan lagu ini,” katanya yang turut menjayakan muzik video single terbabit yang diarahkan oleh Bryan Kouju.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 5:01 AM