LOKASI penemuan tengkorak. FOTO Abd Rahman Adam
SERPIHAN tengkorak yang ditemui. FOTO Abd Rahman Adam
Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my


Santubong: Serpihan tengkorak dipercayai milik manusia ditemui dalam operasi pencarian semula jururawat Nurul Wazieyana Mohd Yusof yang hilang di Pantai Pasir Panjang sejak 12 Disember lalu, pagi tadi.

Serpihan tengkorak ditemui pada 10.48 pagi kira-kira 300 hingga 400 meter dari tempat mayat mangsa dibaham buaya, Raziman Razali, 16, ditemui Selasa lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, operasi memasuki hari kedua itu turut membabitkan 18 anggota bomba, empat polis, tiga anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) serta seorang penyelamat bebas yang bermula kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, pasukan penyelamat terpaksa menunggu air surut sebelum menyusuri kawasan paya dan lumpur di lokasi Sungai Dua, di sini, yang dipercayai menjadi lubuk buaya.

"Operasi pencarian kami tertumpu di kawasan lubuk Sungai Dua dengan radius satu hingga dua kilometer.

"Bagaimanapun, kira-kira setengah jam menyusuri kawasan paya dan lumpur di sekitar Sungai Dua, seorang anggota penyelamat menemui serpihan tengkorak berkenaan," katanya.

Katanya, serpihan tengkorak itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk mengenal pasti sama ada serpihan tengkorak itu milik manusia atau sebaliknya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai hasrat Mohd Yusof Othman, bapa kepada Nurul yang ingin meminta pasukan penyelamat membuka semula operasi pencarian anaknya yang hilang sejak 12 Disember lalu.

Dalam kejadian 12 Disember lalu, Nurul hilang selepas dikatakan ditarik ombak ketika berjalan di Pantai Pasir Panjang, di sini bersama seorang rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 2:54 PM