NICOL (kiri) gagal pertahan gelaran musim lalu.

Kuala Lumpur: Langkah ratu skuasy negara, Datuk Nicol David untuk kembali merampas gelaran pemain nombor satu dunia terhenti di separuh akhir Kejohanan Juara-Juara GP Morgan apabila tewas kepada pemain Mesir Nour El Sherbini.

Nour hanya memerlukan masa 26 minit untuk membenam Nicol yang juga juara tahun lalu. Nicol tewas 8-11, 5-11, 6-11 dan keputusan itu membolehkan Nour mara ke perlawanan akhir bertemu pilihan ke-10 Amanda Sobhy.

Nicol dilihat cuba berusaha keras menghalang serangan lawan namun gagal apabila Nour berjaya mematahkan serangan dilakukannya.

Langkah Nicol tersekat pada set ketiga apabila Nour hanya membenarkan bekas pemain nombor satu dunia itu meraih enam mata.

“Sesuatu yang istimewa dapat menewaskan Nicol 3-0 dan keputusan ini yang terbaik buat saya.

“Saya sangat gembira. Bertemu Nicol anda perlu menyerang dan cuba menamatkan permainan lebih cepat. Langkah Nicol serba tidak mengena dan saya membuatkan pergerakannya terbatas,” katanya.

Nicol dilihat bergelut dengan rentaknya sehingga membolehkan lawan menggunakan kesempatan untuk mengatasinya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Amanda, Nour berkata dia perlu berhati-hati kerana pencabarnya itu berada pada tahap terbaik.

“Saya dan Amanda sentiasa menentang sesama sendiri ketika remaja dan bertemu semula di pentas akhir kejohanan Siri Dunia kejayaan besar buat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 8:17 AM