Azman (dua kiri) dan Junaid (kiri) melawat kemudahan R&D Oncogen Pharma, semalam.

Shah Alam: Malaysia terus menjadi pilihan pelabur asing sebagai hab pengeluar produk farmaseutikal menerusi pembukaan Pusat Pembangunan dan Kajian (R&D) Onkologi Bahan Aktif Farmaseutikal (API) oleh syarikat dari Dubai, Scitech Ltd menerusi anak syarikatnya, Oncogen Pharma Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, pihaknya yakin Malaysia menarik banyak pelaburan asing dengan asas negara yang masih kukuh.

Beliau berkata, produk onkologi yang dihasilkan Oncogen Pharma itu dijangka mampu menyumbang lebih RM100 juta kepada eksport Malaysia dalam tempoh lima tahun pengeluaran syarikat itu.

“Biarpun, berdepan dengan situasi ekonomi tidak menentu dan mencabar, Malaysia mencatatkan pertumbuhan signifikan bagi industri farmaseutikal dengan pelaburan diluluskan RM1.9 bilion dari 2012 sehingga September 2015.

“Kebanyakan daripada pelaburan itu disumbangkan pelaburan asing, iaitu RM1.3 bilion atau 70 peratus,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan ke Oncogen Pharma di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Oncogen Pharma, Junaid Waheed.

Azman berkata, pihak menjangkakan lebih banyak pertumbuhan bagi segmen R&D dalam industi farmaseutikal di negara ini pada masa akan datang.

Menurutnya, MIDA telah mempromosi pelaburan dalam R&D sejak beberapa tahun lalu, sekali gus membina R&D kukuh yang dapat menghubungkan antara industri dengan institusi penyelidikan dan pusat pengajian tinggi.

Sementara itu, Junaid berkata, pihaknya memilih Malaysia sebagai lokasi pembangunan pusat R&D bagi produk onkologi kerana Malaysia mempunyai insfra
struktur berkualiti, memiliki pelapis saintis muda berbakat dan menerusi kedudukan negara sebagai lokasi strategik dalam kalangan Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 6:44 AM