Industri automotif dijangka sedikit menguncup tahun ini.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Frost & Sullivan menjangkakan industri automotif Malaysia sedikit menguncup tahun ini dengan pencapaian jualan menurun 1.3 peratus kepada 657,500 unit berbanding 2014 berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kelemahan nilai ringgit.

Daripada angka unit jualan itu, segmen kenderaan penumpang juga diunjurkan menurun 0.9 peratus kepada 583,000 unit dan bagi segmen kenderaan nasional, Perodua masih mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran sebanyak 36.2 peratus.

Timbalan Presiden Mobiliti Frost & Sullivan Vivek Vaidya berkata, walaupun beberapa pemain industri pembuatan peralatan asal (OEM) menurunkan harga kenderaan selepas GST tetapi kelemahan ekonomi, kejatuhan nilai ringgit dan peningkatan kos sara hidup mengakibatkan pembeli lebih berhati-hati untuk berbelanja.

"Kelemahan industri ini dijangka berlarutan sehingga tahun depan dengan unjuran penguncupan 1.44 peratus berbanding tahun ke tahun kepada 648,000 berikutan tekanan ekonomi, kelemahan ringgit, kenaikan harga serta syarat pembiayaan lebih ketat.

"Sekiranya harga minyak mentah dan nilai ringgit terus menurun ia akan memberi tekanan kepada pemain industri OEM serta pembekal seterusnya memberi kesan langsung kepada prestasi industri ini," katanya pada taklimat media unjuran prestasi industri automotif di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 4:24 PM