BERKELAH bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga.
RIADAH alam semula jadi punya keseronokan tersendiri.
AKTIVITI berbeku antara aktiviti wajib saat berkelah .
PENGEMBARAAN si kecil lebih menyeronokkan dalam suasana yang mendamaikan.
MARIATI menggendong anaknya ketika mendaki Gunung Kinabalu.
AKTIVITI santai yang mengujakan.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Telatah si kecil yang kedinginan ketika berendam di dalam sungai sangat mencuit hati. Mana tidaknya, walaupun sudah menggigil kesejukan, dia tetap mahu terus berendam dek teruja melihat ikan yang berenang bebas di sekelilingnya.

Hilai tawa si abang bersama ayah dan rakan mereka dengan aksi terjunan masing-masing pula menenggelamkan deruman air terjun yang mengalir deras itu.

Golongan ibu pula sibuk menyediakan juadah ringkas yang dimasak di atas dapur kecil untuk santapan anak.

Kehijauan alam semula jadi dan kicauan burung yang merdu menambahkan lagi kedamaian percutian hujung minggu yang singkat di Air Terjun Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Itulah yang pastinya dirasai saat berkelah bersama keluarga di air terjun atau hutan lipur yang sememangnya banyak di negara ini.

Riadah di kawasan alam semula jadi cukup mendamaikan. Sesekali lari daripada kesibukan hutan konkrit yang ‘melemaskan’, aktiviti ini ternyata memberi banyak kebaikan dan faedah untuk seisi keluarga.

Selain dapat merehatkan minda kerana bebanan kerja yang tidak pernah habis di pejabat, si kecil juga boleh meneroka banyak benda, sekali gus memupuk rasa cintakan alam semula jadi di dalam diri mereka.

Penerokaan terhadap alam semula jadi juga bersesuaian dengan usia mereka yang sememangnya sukakan pengembaraan.

Sebuah syarikat penyelidikan pemasaran di United Kingdom, One Poll dalam satu kajian pada Mei 2010 mendapati hampir 90 peratus kanak-kanak menginginkan pengembaraan dalam hidup mereka, manakala hampir 90 peratus ibu bapa berasakan pengembaraan bahagian penting dalam hidup si anak.

Bagaimanapun, kajian itu mendapati tidak sampai separuh daripada kanak-kanak betul-betul terbabit dalam aktiviti mencabar, apatah lagi melakukan aktiviti ‘outdoor’ dan berkhemah bersama keluarga.

Kenapa ini berlaku? Sudah tentu ia berpunca daripada ibu bapa.

Mereka berpendapat pengembaraan bagus untuk kanak-kanak, tetapi mereka sendiri sama ada tiada ilmu untuk mendedahkan anak kepada aktiviti ‘outdoor’ atau was-was kerana bimbang keselamatan anak.

Begitu jugalah yang dialami di negara kita. Ramai berpendapat riadah alam semula jadi mengujakan dan banyak manfaata dan boleh menjadi terapi minda.

Namun, disebabkan takut dengan momokan gangguan ‘makhluk halus’ dan keselamatan anak, kebanyakan ibu bapa cenderung memilih taman tema atau aktiviti lain sebagai riadah.

Percaya kewujudan makhluk halus, tetapi tidak percaya hanya akan diganggu ketika berada di dalam hutan, Mohd Azraie Mat Yusof yang lebih mesra di panggil Aie, memilih riadah alam semula jadi sebagai aktiviti hujung minggu bersama keluarga.

Dia yang juga ayah kepada Ayyan Sufi, 3, berkata, dia sudah biasa dengan momokan banyak ‘gangguan’ di hutan, tetapi berpendapat asal kita pandai menjaga tingkah laku dan keselamatan saat beriadah, semuanya akan baik-baik saja.

“Pada saya ‘gangguan’ di dalam hutan memang ada, tapi tak percaya ‘gangguan’ itu hanya akan kena ketika berada di dalam hutan.

“Di mana saja ada. Tapi kita kena yakin dan sentiasa menjaga tingkah laku serta keselamatan saat beriadah bersama keluarga di kawasan hutan lipur atau air terjun,” katanya.

Menurut Aie, dia memilih riadah alam semula jadi sebagai aktiviti bersama keluarga dan rakan kerana minat mendalam terhadap aktiviti ‘outdoor’ dan mahu ahli keluarga turut sama.

Pada masa sama, katanya, beriadah dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan.

“Melalui riadah alam semula jadi, banyak aktiviti boleh dilakukan termasuk berkelah di air terjun, meredah hutan secara santai di bukit berdekatan seperti Broga, Tabur dan Saga serta banyak lagi.

“Dalam setiap aktiviti, ia memberi cabaran dan keseronokan tersendiri yang boleh dikongsi bersama ahli keluarga, sekali gus mengeratkan lagi hubungan,” katanya.

Mula mendedahkan aktiviti riadah alam semula jadi kepada anaknya Ayyan Sufi yang bermaksud pengembara sufi sejak berusia setahun, Aie berkata, ia untuk memberi pendedahan awal kepada zuriat tunggalnya itu kepada alam semula jadi.

“Saya mula membawa Sufi meredah hutan ketika dia berusia setahun dan mula mendedahkannya dengan aktiviti perkhemahan ketika usianya genap tiga tahun.

“Melalui pendedahan awal ini, dia makin minat dengan aktiviti ini dan akan bertanya bila mahu pergi beriadah jika saya sudah lama tidak membawanya,” katanya.

Selain menanamkan minat cintakan alam semula jadi, aktiviti riadah itu juga memberi peluang kepada anaknya meneroka banyak benda dalam suasana mendamaikan.

“Kalau kanak-kanak lain mengenali pelbagai binatang menerusi kunjungan ke zoo, Sufi pula berbeza kerana ia dapat mengenali rama-rama, memegang ikan, katak dan daun-daunan di dalam kehijauan alam semula jadi,” katanya

Antara tempat yang dikunjungi bersama anaknya ialah Bukit Tabur, Broga, Saga, Bukit Sentosa yang juga dikenali sebagai Bukit Dua Ringgit. Kawasan air terjun pula termasuk Sungai Chiling, Sungai Pisang dan Sungai Putih di Bukit Saga, Ampang.

Sementara itu, Mariati Abidin, 37, berkata, minat sama dengan suami, Abd Razak Abu melakukan aktiviti luar terutama mendaki mendorong dia membawa anaknya mendaki beberapa gunung di Malaysia termasuk Gunung Kinabalu.

Disebabkan sudah terbiasa dengan alam semula jadi, anaknya terutama anak keduanya yang kini berusia lima tahun turut menggemari aktiviti itu.

“Bermula dari usianya tujuh bulan, saya membawa anak kedua, Mohd Yusof Rayyan, berkelah di tepi pantai, diikuti berkhemah di hutan liur, air terjun dan kini ke tempat lebih mencabar.

“Kini, dia makin minat dan mengajak kami melakukan aktiviti yang disukainya jika sudah lama tidak beriadah,” katanya.

Mariati mengakui pada mulanya agak bimbang membawa anak yang masih bayi memasuki hutan yang dianggap ‘keras’ oleh sesetengah masyarakat kerana bimbangkan gangguan makhluk halus.

“Dulu, memang saya sedikit risau. Namun, dengan niat yang baik dan sentiasa berjaga-jaga, saya mengenepikan semua kerisauan itu dengan membawa anak turut sama dalam aktiviti dilakukan.

“Sebelum itu, kami memang jarang membawa anak sulung (Siti Nurjannatul Naim, 15,) melakukan aktiviti ini kerana kekurangan ilmu, tetapi kini kami lebih terbuka dan berani membawa anak kedua ke mana saja kami pergi.

“Namun, sikap berjaga-jaga perlu ada kerana lebih baik kita mencegah sebelum berlaku,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, apabila mendaki gunung dan berkhemah di atas puncak pada waktu malam, dia tidak akan membiarkan anaknya bermain di luar, terlalu suka atau menangis dengan kuat.

Mengenai cabaran membawa anak melakukan aktiviti berkhemah di puncak gunung, katanya, kesabaran dan kerjasama di antara dia dan suami perlu utuh.

Ini kerana keletihan mendaki dan kerenah anak yang tidak menentu boleh membuatkan ibu bapa cepat marah sehingga mencetuskan pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 12:48 PM