DUA belas jam penuh warna-warni di White Night Melbourne.
JALAN utama dan lorong hidup dengan pelbagai kegiatan seni.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmero.com.my


Diilhamkan daripada Paris’ Nuit Blanche dan rangkaian antarabangsa program White Night di seluruh dunia, White Night Melbourne, Australia antara acara kebudayaan terkenal yang perlu disaksikan pada 20 Februari depan.

Dengan landskap menarik, bandar Melbourne akan bertukar wajah bermula jam 7 malam hingga 7 pagi keesokannya dengan pelbagai aktiviti mengujakan.

Buat tahun keempat berturut-turut, sempena sambutan White Night Melbourne 2016, jalan utama dan lorong bakal meriah dengan pelbagai aktiviti seni dan persembahan secara langsung yang menghiburkan.

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman menyaksikan seni visual, pameran, pencahayaan yang menakjubkan, muzik, teater, pengalaman makanan yang hebat, filem, reka bentuk dan persembahan yang dipamerkan di destinasi dan institusi kebudayaan utama di seberang pusat bandar.

Dengan pelbagai kemeriahan yang disajikan, santapan mata memukau dengan pencahayaan dan muzik menakjubkan, White Night Melbourne pasti menyeronokkan.

Oleh itu, melalui penerbangan Malaysia Airlines ke Melbourne dua kali sehari atau 14 kali seminggu, pengembaraan di bandar yang dipenuhi dengan kemeriahan perayaan budaya dan kreativiti Australia pasti membuatkan anda pulang dengan 1,001 kenangan terindah.

Tidak puas melihat persembahan budaya yang menakjubkan di White Night Melbourne 2016, Adelaide Festival yang berlangsung dari 26 Februari hingga 14 Mac depan menambahkan kemeriahan saat bercuti di Australia.

Menjadi antara festival seni terhebat di dunia setiap tahun, Adelaide menjadi pusat seni dan hiburan, hab artis dengan pelbagai persembahan teater, filem tarian dan opera.

Selain itu, ada banyak lagi acara membabitkan seni dan budaya di bandar ini sempena Adelaide Festival termasuk Writers Week dan Adelaide Fringe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 12:37 PM