Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Wanita warga emas maut dalam kebakaran rumah di Jalan Hoover, Pasir Pinji, di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, wanita berusia 75 tahun berkenaan ditemui pasukan bomba di bahagian luar rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri namun gagal.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Penguasa Bomba Kanan 1 Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 4.02 pagi sebelum 15 anggota dan seorang pegawai dengan tiga jentera ke lokasi untuk operasi pemadaman api.

"Sebaik tiba di lokasi bomba dapati rumah berkenaan sudah terbakar kira-kira 60 peratus dan selepas api dikawal pemeriksaan dilakukan menemui mangsa di luar rumah kira-kira satu meter dari rumahnya.

"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia dengan melecur 60 peratus anggota badan dan kita percaya mangsa cuba menyelamatkan diri namun gagal serta terjatuh di luar rumah kerana mangsa juga dilaporkan uzur," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga mangsa, wanita berkenaan tinggal di kediaman terbabit seorang diri.

"Api dapat dipadamkan keseluruhannya dalam tempoh kira-kira 10 minit dan kebakaran membabitkan kira-kira 75 peratus daripada rumah berkenaan.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:40 AM
KEADAAN rumah mangsa yang musnah terbakar. FOTO Muhammad Apendy Issahak