ANGGOTA keselamatan Pakistan memeriksa tempat kejadian dan mengutip sisa mayat mangsa.
AFP

Quetta (Pakistan): Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar pusat vaksinasi polio di Quetta, barat daya Pakistan semalam, membunuh sekurang-kurangnya 15 orang, kebanyakannya polis.

Ketika kejadian, van polis baru tiba di luar pusat berkenaan bagi mengiringi pekerja polio untuk hari ketiga kempen vaksinasi yang sering menjadi sasaran serangan militan di Pakistan.

Dua kumpulan militan - Taliban Pakistan dan Jundullah yang mempunyai kaitan dengan Taliban serta setia kepada Negara Islam (IS) - masing-masing mengaku bertanggungjawab.

“Sekurang-kurangnya 15 mati, 12 daripadanya polis, seorang separa tentera serta dua orang awam,” kata polis tempatan.

Menteri dalam negeri Balochistan, Sarfaraz Bugti berkata: “Setakat ini 15 cedera dan tujuh dalam keadaan kritikal.”

Wartawan AFP di tempat kejadian melihat tiga kenderaan terbakar kerana diletupkan, sementara mayat bergelimpangan di atas tanah, dinding dan tiang elektrik bersama barangan seperti pakaian, topi serta kasut polis.

Beberapa polis dilihat mengumpulkan bukti di tempat kejadian, manakala yang lain memungut anggota badan mangsa untuk dimasukkan ke dalam beg.

Saksi, Shabir Ahmed, 32, yang juga konstabel polis berkata, dia dikerahkan melindungi pasukan vaksin polio yang sepatutnya meninggalkan tempat kejadian untuk ke kawasan lain berhampiran Quetta pada jam 10.00 pagi.

“Bagaimanapun, tiba-tiba ada bunyi yang kuat dan saya jatuh ke tanah. Saya tidak dapat melihat apa-apa kerana berdebu.

“Kemudian saya mendengar orang menjerit dan siren ambulans,” katanya yang mengalami luka di perut, tangan serta kaki.

Serangan terbaru itu susulan pengebom berani mati menyerang kawasan berhampiran konsulat Pakistan di Jalalabad, Afghanistan, semalam yang menyebabkan dua terbunuh, beberapa hari selepas perbincangan empat negara bertujuan untuk memulihkan rundingan damai dengan Taliban di Islamabad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:23 AM