GAMBAR dan mesej tertera di laman sesawang jabatan kehakiman Thailand yang digodam kumpulan Anonymous.

Bangkok: Kumpulan penggodam antarabangsa, Anonymous semalam berkata, ia menyerang beratus-ratus laman sesawang kerajaan Thailand sebagai membantah hukuman mati terhadap dua imigran yang didapati bersalah membunuh dua pelancong Britain.

Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman mati terhadap dua pekerja warga Myanmar, Zaw Lin dan Win Zaw Htun kerana membunuh Hannah Witheridge, 23, dan David Miller, 24, di pulau Koh Tao pada 2014.

Hannah dirogol sebelum dibunuh manakala Miller yang cedera parah di kepala dibiarkan lemas di tepi pantai.

Bagaimanapun, siasatan polis itu dicemari kontroversi kerana didakwa tertuduh dipaksa membuat pengakuan bersalah.

Keputusan mahkamah berkenaan turut mencetuskan bantahan hampir setiap hari di Myanmar dan ramai percaya kedua-dua suspek itu dijadikan kambing hitam.

Dalam satu mesej yang disiarkan di laman Facebook We Are Anonymous, kumpulan itu memberitahu mereka menutup laman sesawang kerajaan termasuk jabatan kehakiman Thailand sebagai membantah keputusan berkenaan.

“Anonymous menutup semua laman sesawang termasuk jabatan kehakiman Thailand sebagai membantah keputusan kes pembunuhan di Koh Tao.

“Anonymous menyokong kempen bagi menggesa pelancong memboikot Thailand,” kata kumpulan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 10:17 AM