AHMAD Bashah

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjangka industri francais negara bakal menyumbangkan RM28 bilion iaitu purata peningkatan 2.5 peratus berbanding tahun lalu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sasaran itu disokong empat strategi memperkasakan ekonomi Bumiputera dengan memberi penekanan kepada modal insan, pemilikan ekuiti, pengukuhan pemilikan aset bukan kewangan dan memperhebatkan keusahawana.

“Saya difahamkan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyokong melalui pembudayaan dan pemantapan keusahawanan bagi melahirkan modal insan berkualiti dan mengukuhkan ekonomi Bumiputera,” katanya pada selepas majlis Program Pemantapan Francaisor Bumiputera, di sini, semalam.

Beliau berkata, program berkenaan adalah sebagai insentif kepada syarikat francais Bumiputera yang telah menyertai program penarafan francaisor dan antara objektif utama termasuk mengkategorikan setiap francaisor bedasarkan prestasi, kemampuan dan keupayaan untuk bersaing dalam pasaran selain memberi peluang dan kelebihan bagi mendapatkan bantuan kewangan menerusi akses kepada insitusi lebih baik serta tahap keyakinan lebih tinggi daripada insitusi kewangan.

“Melalui program ini, usahawan boleh memohon mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan daripada syarikat perunding mengenai semua aspek perniagaan termasuk perkara berkaitan kewangan, penjenamaan, pemasaran, operasi syarikat dan lain-lain.

“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, usahawan perlu lebih kreatif dan bekerja keras untuk survival perniagaan masing-masing bagi memastikan perusahaan dijalankan mampu berdepan setiap cabaran dan pada masa sama tidak terlalu bergantung dengan bantuan kerajaan semata-mata” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 6:42 AM