KEADAAN mangsa yang ditetak. FOTO Asrizal Aris
Oleh Asrizal Aris
am@hmetro.com.my


Batu Gajah : Seorang lelaki cedera di beberapa anggota badan akibat ditetak dengan parang oleh sekumpulan lima lelaki berhampiran restoran makanan segera di Taman Kanak-Kanak Jalan Changkat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.45 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun dikatakan sedang minum bersama rakannya sebelum secara tiba-tiba diserang kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua lagi rakannya yang sedang mabuk dipercayai berselisih faham lalu bertengkar dengan beberapa lelaki di kawasan taman itu.

Menurutnya,susulan perselisihan faham itu mangsa kemudian didatangi sekumpulan lima suspek yang bersenjatakan parang lalu bertindak menyerang dan mencederakan mangsa.

“Mangsa yang cedera dan bermuluran darah di bahagian pergelangan tangan melarikan diri dan meminta bantuan dengan memasuki sebuah restoran. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana membuat rusuhan menggunakan senjata berbahaya dan siasatan dijalankan untuk mengesan sama ada membabitkan kegiatan kongsi gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 4:39 PM