YASMIN (kanan) berkongsi cara dia memperkenalkan makanan kepada anaknya kepada Mary (tengah) sambil diperhatikan pengacara majlis, Datuk Yasmin Yusuff.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Kajian menunjukkan seorang daripada tiga kanak-kanak di bawah usia lima tahun di negara ini mengalami masalah anemia iaitu keadaan kekurangan sel darah merah disebabkan kekurangan zat besi dalam pemakanan seharian.

Anemia menyebabkan kanak-kanak terbabit kelihatan pucat, mudah keletihan dan menyebabkan masalah kesihatan yang perlu diberi perhatian kerana secara tidak langsung tubuh kurang zat yang diperlukan bagi pertumbuhan sihat serta optimum.

Lebih parah, masalah kekurangan zat besi bukan menyebabkan rasa lapar atau mungkin tidak disedari secara jelas kerana kanak-kanak tetap kelihatan sihat, namun ia memberi impak yang buruk kepada pertumbuhan kanak-kanak.

Selain pucat dan mudah letih, kanak-kanak yang kekurangan zat besi juga terkesan dari segi mental dan psikologi kerana mereka sukar fokus atau beri tumpuan dalam kelas, secara tidak langsung menjejaskan proses pembelajaran.

Menurut Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia Dr Tee E-Siong, secara global kira-kira dua bilion orang mengalami masalah kekurangan mikronutrien terutama iodin, zat besi dan vitamin A.

Katanya, di Malaysia, masalah kekurangan mikronutrien kurang difahami atau tidak disedari ramai terutama kekurangan zat besi.

“Mikronutrien ialah kumpulan vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh dalam jumlah yang tertentu untuk melancarkan pembangunan serta kelancaran fungsi kognitif, motor dan sosioemosi serta tahap kesihatan anak anda pada masa depan.

“Hampir 80 peratus pertumbuhan otak pesat berlaku pada usia dua tahun pertama kanak-kanak dan ketika itu mikronutrien diperlukan untuk memastikan pertumbuhan yang optimum,” katanya pada pelancaran produk terbaru pemakanan bijiran untuk kanak-kanak dari Nestle, Cerelac with More Iron, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pakar Diet Institut Jantung Negara (IJN) Mary Easaw dan Pakar Nutrisi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Poh Bee Koon.

Ramai kurang zat

Sementara itu, Dr Poh berkata, kira-kira 64.7 peratus kanak-kanak perempuan dan 62.9 peratus kanak-kanak lelaki berusia antara enam hingga 11 tahun di kawasan bandar tidak mendapat nutrien secukupnya seperti yang digariskan melalui cadangan pengambilan nutrien Malaysia.

Memandangkan kekurangan nutrien boleh memberi kesan kepada pertumbuhan kanak-kanak, pengambilan semua jenis makanan memainkan peranan besar dalam memastikan pembangunan sihat tubuh dan otak mereka.

“Bagi beberapa jenis nutrien, kanak-kanak memerlukannya lima kali lebih banyak berbanding orang dewasa supaya dia dapat membesar sempurna.

“Di Malaysia, diakui peratusan kanak-kanak kecil yang mengalami kekurangan zat adalah tinggi terutama zat besi, iodin, vitamin D dan vitamin A.

“Malah kebanyakan ibu bapa tidak sedar mengenainya terutama jika ibu bapa terdiri daripada golo­ngan muda atau tidak mempunyai pengetahuan mengenai pemakanan anak,” katanya.

Dr Poh berkata, selalunya masalah kekurangan nutrisi berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang cerewet mengenai pemakanan atau mereka terlalu cepat menghabiskan makanan antara usia enam bulan hingga lima tahun.

Menurutnya, kesan terbesar yang boleh dilihat dalam kalangan kanak-kanak yang kekurangan mikronutrein apabila mereka memiliki kualiti kebijaksanaan (IQ) lebih rendah dan memiliki tubuh lebih kecil berbanding rakan sebaya yang tidak mengalami kekurangan zat.

“Kalau kita tengok keadaan kekurangan mikronutrien, ia tidak hanya berlaku dalam kelompok tertentu misalnya orang miskin atau mereka yang tinggal di kampung. Orang bandar dan orang kaya juga mengalami masalah sama.

“Bagaimanapun, ia mungkin ada kaitan dengan mereka yang tidak mampu membeli makanan pelbagai jenis sama ada tinggal di kampung atau bandar selain sikap cerewet dengan pemakanan.

“Paling penting, kanak-kanak perlu mendapat cukup nutrien sekurang-kurangnya dalam 1,000 hari pertama termasuk ketika ia masih berada di dalam rahim.

“Ketika dalam kandungan, ibu perlu mengamalkan diet seimbang dan selepas dilahirkan, selain susu badan, anak juga perlu diberikan pemakanan lengkap, sesuai dengan tahap usianya.

“Jika tidak mendapat nutrisi cukup, pertumbuhan yang terganggu tidak dapat dipulihkan semula selain anak menjadi seorang kanak-kanak yang lambat belajar,” katanya.

Ini kerana katanya, apabila pengambilan mikronutrien tidak cukup, ada bahagian saraf tubuh yang akan terjejas, sel otak tidak bersambung serta tidak berkembang secara optimum hingga memberi kesan kepada fungsi kognitif.

Pelajari keperluan anak

Menurut Dr Poh, cara menanganinya amat mudah iaitu pastikan kanak-kanak mendapat zat daripada semua kumpulan makanan serta pelbagaikan pemakanan sihat yang diambil.

Katanya, suplemen atau pemakanan tambahan tidak mampu menggantikan zat daripada makanan semula jadi daripada pelbagai kumpulan dan warna, malah sumber terbaik semua zat mineral serta vitamin adalah melalui pemakanan seimbang.

“Kuncinya adalah mengamalkan pemakanan seimbang daripada semua kumpulan makanan secara sederhana mengikut piramid makanan.

“Bagi mereka yang masih tertanya-tanya jenis makanan yang sesuai, boleh merujuk kepada piramid makanan di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah tajuk Panduan Diet Malaysia,” katanya.

Selain itu, Mary Easaw berkata, selepas enam bulan, keperluan nutrien kanak-kanak semakin meningkat dan susu badan perlu disokong oleh makanan penuh nutrisi dihasilkan daripada pelbagai jenis sayur, buah dan bubur.

Katanya, inilah masa sesuai untuk memperkenalkan pelbagai makanan kaya nutrien seperti bijirin, protein seperti ikan, isi ayam tanpa lemak, daging dan sayuran dalam diet anak.

“Hasil daripada pengenalan pelbagai kumpulan makanan itu, ia dapat mengelak masalah anemia, simptom kekurangan zat selain memastikan tubuh serta otak dapat berkembang secara optimum.

Ramai ibu bapa yang mengambil jalan mudah, tetapi anak perlu didedahkan dengan sesuatu makanan banyak kali sehingga akhirnya dia akan menerimanya.

“Jika kanak-kanak terlalu bersikap memilih makanan, bawa ia berjumpa dengan pakar diet atau nutrisi untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu,” katanya.

Sementara itu, jurutera, Yasmin Rasheed, 30, ibu kepada seorang bayi berkata biarpun sibuk bekerja, dia memastikan makanan bayi disediakan setiap hari dengan menggabungkan semua kumpulan makanan.

Sebagai ibu bekerja, dia perlu memberikan lebih usaha setiap hari untuk menyediakan makanan bayinya supaya mendapat zat seimbang.

“Saya banyak memberi penekanan terhadap pengambilan sayuran selain mengawal jumlah garam atau gula, malah saya mengambil inisiatif sendiri dengan belajar mengenai nutrisi penting yang diperlukan bayi untuk membesar sempurna.

“Pada saya, kanak-kanak perlu mempunyai hubungan baik dengan makanan supaya dia makan dengan banyak, suka mencuba dan tidak cerewet.

“Saya jadikan waktu makan sebagai masa paling menggembirakan untuk anak dan memberinya makanan pelbagai warna dan tekstur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 11:04 AM