PELAKON siri televisyen Oh My English harap peluang datang tahun ini.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Hampir empat tahun menceburi bidang nyanyian, nama Juzzthin atau Mohamad Nazreen Norzali semakin mendapat perhatian peminat muzik hip hop.

Muncul dengan single pertama Sunset Boulevard pada 2012, penyanyi berusia 25 tahun itu melangkah 2016 dengan meletakkan harapan baru untuk karier muzik dan lakonan.

Pelakon siri televisyen Oh My English (OME) itu mengidamkan watak lakonan yang lebih serius.

“Bukan bermaksud saya memilih watak ataupun sudah bosan berlakon dalam OME, tetapi saya ingin mengembangkan bakat lakonan,” katanya.

Mengharapkan peluang sedemikian datang pada tahun ini, Juzzthin mengakui pernah ditawarkan untuk muncul dalam drama.

“Bagaimanapun, saya terpaksa menolak tawaran itu kerana mahu fokus terhadap pembikinan album sulung.

“Saya hanya sempat berlakon dalam muzikal Timeless Treasure terbitan RTM pada November lalu,” katanya selepas tayangan perdana telefilem Oh My Ganu 2, baru-baru ini.

Teruja berduet dengan Maya Karin

Menceritakan perkembangan karier nyanyiannya, Juzzthin sudah tidak sabar menanti pelancaran album berjudul Class Is In Session dalam masa terdekat ini.

“Album itu memuatkan 12 lagu Melayu dan Inggeris. Buat masa ini, saya masih memilih lagu sesuai daripada album itu sebagai single.

“Maklumat lanjut mengenai album hanya dapat dikongsi pada bulan depan kerana sibuk dengan promosi telefilem Oh My Ganu 2,” katanya.

Selain album solo, Juzzthin baru saja muncul dalam dua single duet terbaru iaitu Lepaskan, gandingan bersama penyanyi baru Wani dan Serik Dengan Cinta dengan selebriti popular Maya Karin.

Bernaung di bawah label Mixology Music, Juzzthin berkata, kerjasama dengan bintang filem Ombak Rindu itu diaturkan oleh komposer DJ Fuzz.

“Memang teruja apabila mendapat tahu akan berduet dengan Maya Karin kerana selalu melihat dia di televisyen sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, single itu berkonsepkan hip hop dan Maya hanya menyanyikan bahagian korus.

“Ketika rakaman, Maya menasihati saya supaya menjadi diri sendiri. Segala-galanya berjalan dengan lancar dan rakaman diselesaikan dalam satu hari,” katanya.

Seronok berlakon di tepi pantai

Mengenai lakonannya dalam telefilem Oh My Ganu 2 pula, Juzzthin berkata, sekuel itu lebih dramatik dengan menyelitkan elemen mengejut dalam setiap babak.

“Berbanding filem pertama, Oh My Ganu 2 menampilkan kelainan yang pastinya menghiburkan penonton,” katanya.

Lebih menarik, Juzzthin berkata, penonton diberikan ‘kuasa’ untuk menentukan penamat kisah Oh My Ganu 2 menerusi undian.

“Dalam telefilem ini, Cikgu Ayu perlu memilih pasangan hidupnya, sama ada dengan Mr Middleton atau Zizang.

“Sebagai anak didik Mr Middleton dan Cikgu Ayu, sudah tentu saya dan rakan sekelas inginkan melihat mereka bersama,” katanya.

Memegang watak sebagai Zack, pelakon itu berkata penggambaran Oh My Ganu 2 di Terengganu memberi pengalaman manis kepadanya.

“Ini juga kali pertama saya berlakon dengan Zizan Razak. Penggambaran kali ini juga lebih menyeronokkan kerana dijalankan di tepi pantai dan lakonan lebih spontan,” katanya.

Selain Juzzthin dan Zizan, teraju bagi Oh My Ganu 2 ini ialah Zain Saidin, Tiz Zaqyah, Akhmal Nazri, Nadiya Nisaa dan Izara Aishah.

Tayangan perdana Oh My Ganu 3 akan disiarkan di Astro TVIQ pada Sabtu ini, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:49 AM