Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Perkhidmatan strim video terkemuka, Netflix akhirnya dibawa masuk ke Malaysia secara rasmi, namun persoalan mengenai tapisan filem atau dramanya menjadi persoalan terutama dengan undang-undang di negara ini yang ketat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak (gambar) berkata, Netflix masih perlu mengikut garis panduan yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Walaupun Netflix adalah penyedia kandungan aplikasi OTT seperti Facebook, ia masih perlu mengikut undang-undang tempatan,” katanya.

SKMM boleh mengambil tindakan terhadap Netflix jika mendapati terdapat adegan yang melanggar standard kawalan penyelia dan ditayangkan melalui Netflix Malaysia.

SKMM akan memaklumkan standard tayangan di Malaysia kepada Netflix.

“Kerajaan masih mengkaji untuk mengubah suai peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, untuk memperkenalkan lesen kepada penyedia kandungan OTT,” katanya.

Penyedia kandungan OTT menyediakan kandungan tanpa membabitkan penyedia rangkaian seperti Celcom dan Maxis.

Netflix yang baru tiba di Malaysia menawarkan pelbagai kandungan video secara penstriman dengan langganan serendah RM33 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:30 AM