Anggota bomba berusaha membantu mangsa. FOTO ihsan bomba
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Tumpat: Pelajar lelaki berusia 16 tahun menahan kesakitan lebih 30 minit apabila kaki kanannya tersepit di dalam longkang di Taman SBJ Putra, Pasir Pekan, Wakaf Bharu, di sini, 4.15 petang tadi.

Mangsa, Mohd Haikal Mohd Haris dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan secara tiba-tiba kaki kanannya terperosok ke dalam longkang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim Pegawai Bomba Kanan II Nazri Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.28 petang dan seramai tujuh anggota bomba ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba, kita dapati orang ramai cuba membantu mengeluarkan kaki mangsa, namun gagal.

"Kita berusaha mengeluarkan kaki mangsa dengan menggunakan alat pemecah untuk memecahkan simen dan mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa mengalami cedera ringan dan dibawa ke klinik berdekatan untuk dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:18 PM