Mayat Raziman diusung untuk dibawa ke hospital. FOTO ihsan bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Santubong: Mayat remaja lelaki yang lemas ketika mandi di Pantai Kampung Santubong, di sini petang semalam ditemui dalam keadaan ada kesan gigitan buaya pada badan dan tangan kanan hilang di Sungai Dua, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian, petang tadi.

Mayat Raziman Razali, 16, ditemui pasukan bomba dalam keadaan terapung pada 5.40 petang.

Ketua Bomba Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata, mayat ditemui dikawasan terpencil dipercayai lubuk buaya.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak," katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sejurus penemuan mayat.

Dalam kejadian jam 6 petang, semalam Raziman hilang dikatakan ditarik ombak ketika mandi bersama tiga rakannya di pantai itu.

Ini adalah kejadian lemas kedua berlaku dalam tempoh kurang sebulan dengan seorang jururawat, Nurul Wazieyana Mohd Yusof, 23 dikhuatiri lemas ditarik ombak ketika berjalan di Pantai Pasir Pandak, di sini 12 Disember lalu.

Pantai Pasir Pandak dan Pantai Kampung Santubong terletak kira-kira tiga kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 9:38 PM