PENAMBAHAN katil di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berikutan wabak denggi yang melanda Terengganu. FOTO Mohd Syafiq Ambak
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Lapan pesakit denggi termasuk dua dalam keadaan separuh kritikal sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, dua pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ manakala selebihnya di rawat di wad biasa.

"Sehingga kini, 141 kes denggi dilaporkan di seluruh Terengganu pada 2016 berbanding 35 kes bagi tempoh sama pada 2015.

"Kuala Terengganu mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 101 kes, diikuti Kuala Nerus (13 kes), Dungun (10 kes), Besut dan Hulu Terengganu masing-masing lima kes, Kemaman (tiga kes), Marang (tiga kes) dan Setiu (1 kes) yang mana semua daerah menunjukkan peningkatan kes.

"Kita turut mengenal pasti 12 kawasan wabak denggi iaitu Taman Permint Perdana Fasa 1, Taman Permint Perdana Fasa 5 dan Kampung Duyung Besar di Kuala Nerus manakala Kampung Losong Haji Su, Kampung Panji Alam, Kampung Chendering Pantai, Bukit Besar, Kampung Gong Tok Nasek Hilir, Kedai Buloh, Losong Haji Mat Shafie, Flat Polis Hiliran dan Kampung Nibong di Kuala Terengganu.

"Isu denggi ini tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak harus memainkan peranan dengan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengatasi masalah ini," katanya yang ditemui selepas melawat keluarga kepada Nur Amera Natasha Sharudin, 12, yang menjadi korban ketiga yang meninggal dunia akibat denggi di Terengganu tahun ini.

Sebelum ini, dua mangsa meninggal dunia akibat denggi di Terengganu iaitu pada Sabtu dan 2 Januari lalu, kedua-duanya dari Panji Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 4:48 PM