SALEHHUDIN (tengah) ketika sidang media di IPK Sabah. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Empat individu termasuk tiga anggota polis ditahan di sekitar Lahad Datu, semalam bagi membantu siasatan kes culik bersenjata api di Kampung Silam Lahad Datu, 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, suspek ditahan terdiri daripada dua koperal dan masing-masing seorang konstabel dan orang awam.

"Semua suspek berusia 26 hingga 33 tahun ditahan dalam operasi berasingan sekitar daerah itu bermula 11.30 pagi hingga 4.30 petang semalam.

"Polis turut merampas dua laras senjata api HKMP5 dan selaras raifal M-16, sebuah pacuan empat roda bewarna putih, wang tunai RM8,100 serta telefon bimbit," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Salehhudin berkata, seorang suspek bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu manakala dua lagi adalah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 12:30 PM