GUZMAN ketika ditahan minggu lalu.

Mexico City: Kerajaan Mexico memulakan prosiding ekstradisi secara rasmi terhadap raja dadah Joaquin ‘El Chapo’ Guzman yang ditahan baru-baru ini.

Ia seterusnya menggambarkan kemungkinan penjenayah itu akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk dibicarakan.

Guzman, ketua kartel dadah Sinaloa dan pengedar paling terkenal di dunia, ditahan di barat laut Mexico Jumaat lalu selepas diburu beberapa bulan.

Ahad lalu, Interpol menyerahkan dua waran ekstradisi, kata pejabat peguam negara Mexico, seterusnya memulakan usaha terbaru untuk membolehkan Guzman diadili di AS atas tuduhan menyeludup ratusan tan kokain, methamphetamine dan heroin menerusi sempadan kedua-dua negara itu.

Mexico kerap mengekstradisi pengedar dadah, namun kerajaan pimpinan Presiden Enrique Pena Nieto mengelak menyerahkan Guzman kepada AS selepas ditahan pada Februari 2014.

Pendirian itu bagaimanapun berubah selepas dia meloloskan diri dari penjara kawalan maksimum pada Julai tahun lalu, kali kedua dalam hidupnya dengan menyelinap masuk terowong sepanjang 1.6 kilometer di sel tahanannya.

Guzman dibawa semula ke tempat tahanan sama pada hujung minggu lalu.

Untuk mengelak kejadian berulang, kerajaan Mexico bercadang menyerahkannya kepada pihak berkuasa AS secepat mungkin. Peguamnya bagaimanapun akan berusaha menghalang proses ekstradisi itu.

Guzman yang dipercayai berusia 58 tahun dikehendaki di AS atas tuduhan penggubahan wang haram, pengedaran dadah, penculikan dan pembunuhan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 11:23 AM