Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Gelaran pemain nombor satu dunia dalam arena skuasy bagaikan badi buat pemain Mesir, Raneem El Welily (gambar) apabila terus gagal memburu kejuaraan selepas memegang status itu.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya sempat bergelar pemain nombor satu dunia selama empat bulan sejak September lalu dan terpaksa melepaskan gelaran itu kepada pemain England Laura Massaro awal bulan ini.

Terdahulu Raneem yang turun dalam usahanya mempertahankan gelaran juara di Kejohanan Juara-Juara JP Morgan di New York tewas kepada pemain tuan rumah Amanda Sobhy.

Amanda, pilihan ke-10, melakar kemenangan terbesar dalam kariernya apabila berjaya menundukkan Raneem 11-5, 6-11, 11-5, 11-6 dalam perlawanan yang memakan masa 41 minit.

“Secara jujurnya saya sedikit terkejut kerana pada tiga perlawanan sebelum ini semuanya memihak kepada Raneem dan berjaya mengatasinya hari ini adalah sesuatu di luar jangkaan.

“Ini kemenangan terbesar dalam karier saya. Raneem seorang pemain yang luar biasa dan dia juara bertahan serta pernah bergelar pemain nombor satu dunia. Sokongan dari rakan membuatkan saya begitu teruja untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Amanda akan bertemu Alison Water pada suku akhir apabila pemain pilihan keenam dari England itu menamatkan cabaran pemain negara Delia Arnold 11-5, 11-8, 11-6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:32 AM