AHMAD Shabery melawat gerai Azam Tani LPP Pahang.
AHMAD Shabery bersama pengurusan LPP dan peserta Azam Tani.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melancarkan buku Koleksi Kejayaanmu Inspirasiku dalam usaha memberi semangat kepada peserta Azam Tani meraih pendapatan lebih baik serta membantu golongan sasar dalam sektor pertanian dan agro makanan.

Program Azam Tani yang yang dikendalikan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membantu meningkatkan pendapatan golongan sasar melalui pemberian bantuan projek ekonomi dalam sektor tanaman, perikanan, penternakan, pemprosesan hasil tani, perniagaan hasil tani dan perkhidmatan pertanian.

Ia juga mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing golongan sasar dalam bidang pertanian melalui latihan jati diri, keusahawanan dan teknikal serta membantu mengeluarkan peserta daripada belenggu kemiskinan.

Melalui projek Azam Tani, LPP membantu 2,740 peserta daripada kategori keluarga miskin dan miskin tegar di seluruh negara.

Ketua Pengarah LPP Datuk Mohd Salim Taha berkata, projek Azam Tani antara inisiatif di bawah Program 1AZAM yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata, MOA dilantik sebagai ‘champion’ bagi Projek Azam Tani di bawah Program Transformasi Kerajaan Fasa 1.0 (GTP 1.0) mulai tahun 2010 hingga 2012 dan Program Transformasi Kerajaan Fasa 2.0 (GTP 2.0) mulai tahun 2013 hingga 2015.

“LPP antara agensi dan jabatan di bawah MOA yang dilantik sebagai pelaksana kepada program ini.

“Projek Azam Tani berbentuk ‘touch point’ dan bantuan disampaikan secara terus kepada rakyat berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar dengan mengambil kira keperluan ekonomi di sepanjang rantaian.

“Bantuan bukan saja meliputi input, bahkan aspek seperti latihan, promosi dan pemasaran turut diambil kira bagi memastikan kebolehtahanan projek yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Azam Tani LPP 2015 di Menara LPP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA Datuk Azini Mohd Shahid dan Pengerusi LPP Tan Sri Zainal Dahalan.

Mohd Salim berkata, program berkenaan bermatlamat membebaskan isi rumah berpendapatan rendah dan belenggu kemiskinan dan mampu memperoleh pendapatan dengan usaha sendiri melalui pekerjaan, keusahawanan, aktiviti pertanian atau pun perkhidmatan.

“LPP diberi tanggungjawab melaksanakan projek Azam Tani di lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan membabitkan 2,740 ketua isi rumah (KIR) bermula tahun 2010 sehingga sekarang.

“Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan Azam Tani, sebanyak 68.42 peratus peserta berjaya keluar dari senarai kemiskinan dan miskin tegar.

“Dalam sistem eKasih dengan peningkatan minimum RM300 daripada pendapatan sebelum dan 14 peratus berjaya memperoleh pendapatan kasar melebihi RM5,000,” katanya.

Menurutnya, akhir tahun lalu, LPP berjaya mengeluarkan kira-kira 100 orang daripada belengu kemiskinan dan berjaya melonjakkan pendapatan serta memperbaiki taraf kehidupan mereka ke arah kehidupan lebih berkualiti.

“Maklum balas daripada peserta menunjukkan mereka sangat berpuas hati dengan bantuan diberikan dan menyokong sepenuhnya usaha membantu rakyat miskin.

“Kita sentiasa berusaha memberi peluang kepada golongan sasar untuk mengubah kehidupan masing-masing, namun kejayaan sesuatu projek ditentukan Allah SWT.

“Sebagai hamba, kita harus berusaha menjemput rezeki dengan memperkukuhkan ilmu, kemahiran dan kerohanian diri,” katanya.

Pada karnival itu, 300 peserta menghadiri seminar selama tiga hari bagi memberi pendedahan dan maklumat terkini kepada peserta berkenaan status pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah.

Ia mewujudkan perkongsian dan jaringan maklumat di antara peserta bagi memperluaskan bidang usaha masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:31 AM