Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Kelab Usahawan Siswazah Tani (MYAGROSIS) menyasarkan melatih siswa menjadi usahawan siswazah tani moden yang berkeyakinan dan berdaya saing.

Impaknya untuk melahirkan generasi usahawan siswazah tani moden berpendapatan tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Program kerjasama menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu platform terbaik membentuk usahawan tani berdaya saing.

Kelab ini diperkembangkan di 20 universiti awam (UA) di seluruh negara dan 15 Institut Latihan Pertanian Negara (ILP) di bawah Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, kesedaran terhadap kepentingan pertanian sebagai enjin ketiga kepada ekonomi negara memerlukan golongan belia dalam menjamin kesinambungan kepentingan sektor ini.

Beliau berkata, sejajar dengan matlamat Wawasan 2020, keperluan menjana golongan belia berilmu sebagai pelapis dan peneraju dalam merealisasikan transformasi pertanian kearah sektor lebih moden dan berteknologi tinggi.

“Ia menjadi titik tolak kepada penubuhan program MYAGROSIS. Program ini berperanan sebagai pemangkin kepada proses percambahan minat dan pembabitan siswa di IPTA/ILP dalam projek Agropertanian melalui MYAGROSIS.

“Pemupukan minat, kecenderungan dan pembabitan terus golongan graduan dan siswazah sebagai pelapis dan pewaris dalam sektor ini akan dapat meneruskan proses transformasi pertanian ke arah sektor yang lebih moden, berteknologi tinggi, dinamik dan berdaya saing secara global.

“Menjelang 2020, disasarkan 20,000 siswa dan graduan UA menjadi ahli MYAGROSIS yang akan menjadi kumpulan peneraju dalam pencapaian usaha murni ini,” katanya.

Menurutnya, siswazah IPTA/ILP sebagai generasi usahawan tani moden berkemahiran dan mampu menjana pendapatan tinggi dalam bidang pertanian menjelang 2020.

“Tujuan kelab ini untuk memupuk minat dalam bidang keusahawanan pertanian dalam kalangan siswa IPTA/ILP sejajar dengan slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’.

“Memberi pendedahan asas kepada siswa IPTA/ILP dalam bidang pertanian yang boleh dijadikan sebagai pilihan kerjaya utama.

“Ia juga memberi kesedaran kepada siswa IPTA/ILP tentang peranan dan perhatian kerajaan terhadap kepentingan golongan belia dan siswa sebagai pelapis dalam kemajuan industri makanan negara,” katanya.

Badruddin berkata, ia bagi membantu meningkatkan nilai keusahawanan dan asas tani dalam kalangan siswa serta mendorong kelahiran usahawan tani yang moden, dinamik dan berdaya saing.

“Melalui MYAGROSIS di UA, siswa yang berminat menjadi ahli menerima kad keahlian MYAGROSIS yang dikeluarkan AGROBANK.

“Projek yang berasaskan pertanian dan keusahawanan dipilih dan dijalankan dalam kawasan UA secara bersama dengan jabatan dan agensi MOA sebagai pembimbing,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan bagi pelaksanaan projek pada peringkat awal disalurkan ke dalam akaun kelab sebagai modal pusingan pengurusan projek seterusnya.

“Projek K-Shoppe di bawah Agro Niaga ditetapkan sebagai projek pertama yang wajib dijalankan di semua UA sebagai projek perintis.

“Projek lain di bawah MYAGROSIS merangkumi bidang pertanian, peruncitan, perindustrian, pemprosesan, pemasaran dan industri asas tani (IAT).

“Agro Ladang merangkumi bidang perniagaan tani penanaman, perikanan, penternakan landskap dan florikultur manakala

Agro Inovasi merangkumi bidang perniagaan tani berasaskan kreatif tani, inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pelabelan, pembungkusan dan pembaharuan produk serta pemodenan mesin asas pertanian yang bersaiz kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:29 AM