DUA penduduk meredah angin kencang akibat taufan Vongfong di Naha, Okinawa, semalam

Tokyo: Taufan Vongfong membadai selatan Jepun semalam dengan membawa angin kencang dan hujan lebat semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera.

Pusat Amaran Bersama Taufan negara itu berkata, walaupun taufan berkenaan semakin lemah, tetapi ia tetap membawa hujan lebat dan angin kencang yang boleh menyebabkan bencana besar.

Vongfong dijangka tiba di Kyushu, pulau utama di selatan Jepun awal esok.

Di Okinawa, lebih 17,000 rumah terputus bekalan elektrik apabila taufan berkenaan membadai pulau itu dengan angin selaju 234 kilometer sejam.

Sekurang-kurangnya 12 orang cedera, termasuk seorang lelaki yang kehilangan satu jari selepas tersepit pada pintu yang terhempas disebabkan angin kencang.

Radio NHK melaporkan, beberapa kecederaan lain turut dilaporkan.

Taufan Vongfong membadai Jepun hanya seminggu selepas negara itu dilanda satu lagi taufan tropika yang menyebabkan 11 orang mati atau hilang.

Sementara itu, satu gempa bumi menggegarkan utara Jepun, semalam, dua minggu selepas gunung berapi di tengah negara itu meletup tanpa sebarang amaran, hingga meragut 55 nyawa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 11:16 PM