Zarina (tengah) setia menanti khabar terkini mengenai anaknya yang dikhuatiri lemas. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Santubong: Remaja lelaki dikhuatiri lemas ditarik ombak ketika mandi bersama tiga rakannya di Pantai Kampung Santubong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa, Raziman Razali, 16 dikatakan terjatuh sebelum ditarik ombak ketika mandi di tepi pantai.

Menurut ibu mangsa, Zarina Abdullah,50 dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya melalui penduduk kampung.

"Ketika kejadian saya berada di rumah dan seorang penduduk memaklumkan anak saya hilang ditarik ombak.

"Saya berdoa supaya dia segera ditemui," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Mirza Dzalmira Miraj berkata, bomba menerima panggilan kecemasan daripada anggota Balai Polis Santubong pada 6.40 petang.

Katanya, ketika ini pasukan bomba dengan bantuan polis dan penduduk kampung masih membuat pencarian di sekitar pantai kerana air laut surut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 10:12 PM