CODY ketika persembahan pada program Mentor Milenia serta statusnya di Facebook (gambar kecil). FOTO Adi Safri/Hamzah Osman
Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Rossaidi Abdul Rani, 21, yang dipilih antara dua protege kepada penyanyi Black dalam program realiti Mentor Milenia memuat naik status di dalam laman sosial Facebook meminta penduduk Pulau Langkawi mendoakan kejayaannya untuk meneruskan kemaraan dalam program itu yang mula disiarankan 3 Januari lalu.

Lebih dikenali Cody, anak muda kelahiran Pulau Tuba, di sini, dipilih oleh Black sebagai protege bersama Nurul Syazwanie Mohd Basri, 21, selepas tamat konsert pengenalan semalam.

Di dalam status Facebook itu dia bersyukur kepada Allah dan gembira serta terharu di atas sokongan semua dan berjanji akan membuat persembahan terbaik.

Tulisannya itu disambut komen positif selain ramai yang memberi kata-kata semangat untuknya meneruskan cabaran dalam program itu yang dikendalikan Issey Fazlisham daripada kumpulan Titan dan Marsha Milan Londoh sebagai pengacara.

Selain Black atau nama sebenar Hanifah Md Hanafiah, tiga lagi mentor yang terbabit dalam program realiti musim kelapan yang disiarkan setiap 9 malam Ahad di TV3 itu adalah Akim, Azlan dan Hazama.

Juara Mentor Milenia bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 7:20 PM