ANGGOTA tentera yang meninggal dunia. FOTO ihsan Polis
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Tanah Merah: Anggota tentera maut, manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dipandu masing-masing terbabit kemalangan di KM60 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli dekat Batu 7, di sini, 8.40 pagi tadi.

Mohd Sazeli Seman, 33, dari Kampung Jedok, di sini meninggal dunia selepas tiga jam menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Tanah Merah (HTM).

Turut menerima rawatan di hospital sama, Rusuhaimi Rapizi Salleh, 42, yang parah dan Zakaria Salleh, 50, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi berkata, mangsa meninggal dunia pada 12 tengah hari ketika sedang dirawat, manakala dua lagi mangsa cedera dilapor stabil.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu Mohd Sazeli dari arah Jeli bergesel dengan Perodua Kenari dipandu Zakaria sebelum bertembung dengan Proton Wira dipandu Rusuhaimi.

"Pertembungan itu menyebabkan dua mangsa parah di kepala dan badan sebelum seorang daripada mereka meninggal dunia," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 3:49 PM