Apakah hukum seseorang pergi menunaikan haji dengan cara menggunakan kelebihan ‘kabel’ (guna kuota orang kenamaan)?

Ini kerana ada pihak mengatakan sesetengah orang menggunakan orang dalam untuk mempercepatkan giliran menunaikan haji.

Adakah ibadat haji mereka diterima Allah kerana pada pandangan saya ada orang lain lebih layak yang menunggu giliran mengikut saluran yang betul?

Syah

Kuala Lumpur

Melaksanakan ibadat haji sebahagian daripada rukun Islam. Islam meletakkan syarat berkelayakan dalam menentukan hukum wajib pergi menunaikan haji.

Dalam keadaan sekarang, kuota haji yang dibenarkan adalah terhad menyebabkan berlaku kerumitan bagi mereka yang ingin menunaikan haji.

Tambahan pula ramai yang ada kesedaran untuk menunaikan haji pada waktu muda dan ramai pula mendaftar walaupun berusia muda.

Dalam keadaan begini, ada cara yang digunakan selain mendaftar dan menunggu giliran. Ini termasuk menggunakan kelebihan kabel dengan orang kenamaan dan khidmat dalaman. Ada juga yang memohon terus dengan kedutaan Arab Saudi dengan mengemukakan alasan tertentu.

Perkara ini masih dibenarkan jika ia tidak menafikan hak orang lain. Dengan kata lain, ibadat haji tetap sah apabila ia dilaksanakan dengan menyempurnakan segala rukun dan syaratnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:14 AM