JOSIAH.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bukan saja bersandarkan wajah kacukan Amerika Latin, pelakon Josiah Hogan juga berbakat besar dalam bidang lakonan. Selepas berlakon dalam drama Bicara Hati dan Cinta Jangan Pergi yang bersiaran di TV9, nama Josiah terus meniti di bibir peminat di persada hiburan tanah air.

Malah, bakatnya terus mendapat kepercayaan daripada pengarah dan produser drama serta filem di luar sana. Terbaru, bakat lakonan Josiah turut membuka mata produser filem usaha sama Malaysia-Indonesia untuk beraksi dalam filem genre seram Kastil Tua.

Josiah bergandingan dengan barisan pelakon dari Indonesia, Kimberly Ryder, Ajun Perwira, pelakon dan model kelahiran Malaysia, Samantha Katie. Secara peribadi, Josiah berkata, dia terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana ingin mengembangkan bakatnya ke peringkat antarabangsa.

“Ia filem genre seram kedua selepas saya beraksi dalam filem Penanggal arahan pengarah berkaliber, Ellie Suriaty. Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini kerana tertarik dengan watak Mark dalam filem arahan pengarah dari Indonesia iaitu Chiska Doppert.

“Saya melakonkan watak Mark yang karakternya gila-gila dan ‘happy go lucky’ dalam filem ini. Saya juga berharap filem ini menjadi permulaan yang cukup baik untuk saya dikenali di seberang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai filem itu, kata Josiah, dia juga menimba pengalaman berharga sepanjang penggambaran filem yang mempertaruhkan wajah Pan Asia itu.

“Sebenarnya, tidak ba­nyak berbeza pun bekerjasama dengan Chiska. Selain itu, semua pelakon termasuk dari Indonesia memberikan kerjasama terbaik dalam filem ini. Begitu juga Kimberly yang juga pelakon yang terkenal di negaranya, tidak berlagak diva dengan pelakon lain di lokasi penggambaran,” katanya.

Apa yang menarik, kata Josiah filem itu membabitkan penggambaran di istana lama, Kellie’s Castle yang cukup terkenal di Batu Gajah, Perak.

“Sebanyak 90 peratus lokasi penggambaran membabitkan lokasi di negara ini dan selebihnya di Jakarta, Indonesia. Saya tidak sabar menanti reaksi peminat apabila ia menjengah pawagam pada 21 Januari ini,” katanya.

Hos program travelog Go Asian

Walaupun menceburi bidang lakonan, Josiah mengakui dia turut meminati satu lagi cabang seni iaitu pengacaraan yang mula sebati dengan dirinya. Sebelum ini dia pernah terbabit sebagai hos untuk program travelog di 8TV.

Terbaru, Josiah diberi kepercayaan untuk mengacarakan program bercorak travelog Go Asian yang memaparkan kejadian paranormal membabitkan destinasi di Asia Tenggara.

“Saya memang meminati program bercorak travelog sejak dulu. Justeru, saya tidak melepaskan peluang mengendalikan program dalam bahasa Inggeris itu. Saya tertarik untuk mengendalikan program itu kerana ia memaparkan kejadian paranormal dan makhluk ghaib.

“Saya berharap penonton tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 10:10 AM