MIN bersama suami Julfekar.
MIN ketika mendapat anugerah di Filipina.
Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Mungkin ramai artis kita memilih negara jiran seperti Indonesia dan Singapura untuk melangkah lebih jauh, tetapi Min Yasmin, 27, memilih Filipina.

Siapa sangka, di saat namanya bagai ‘terpinggir’ di negara sendiri, Min melakar sejarah peribadi di negara luar. Selain dinobatkan dua anugerah berprestij, Penyanyi Paling Menyerlah dan Duta Muzik di Anugerah Gawad Sulo Ng Bayan 2015 di Filipina tahun lalu, dia turut mendapat jolokan Diva Malaysia di stesen televisyen dan radio popular sana.

Mengapa Filipina menjadi pilihan? Katanya, itulah cabaran yang perlu diambil, apatah lagi suaminya, Julfekar Ahmad Shah sebagai komposer dan produser album mahukan sesuatu yang baru dan berfikir di luar kotak.

“Lagipun Filipina pengeluar muzik nombor satu dunia. Di mana-mana kita akan nampak orang Filipina bermain muzik atau menyanyi kerana mereka sangat menghargai muzik.

“Rugi kalau tak ambil peluang ini. Jadi, apa salahnya kalau belajar satu bahasa baru walaupun sehingga kini saya tidak faham sepenuhnya Tagalog, tapi apabila menyanyi, kita boleh ‘feel’ dengan melodi dan muzik mereka,” katanya.

Pembabitan awalnya di Filipina bermula Mac tahun lalu diikuti pelancaran album kolaborasi bersama Nickki Bacolod pada Julai. Selama dua bulan mereka menjalankan promosi dan pelancaran dari satu lokasi ke satu lokasi.

“Kami turut adakan siri jelajah ke 15 buah pasar raya besar. Antara faktor, pihak sana nampak kita berjaya masuk ke industri muzik mereka yang besar dan buat album penuh.

“Mereka nampak ada pengaruh dari luar negara dan ia bukan sesuatu yang mudah. Anugerah yang saya terima adalah pertama diberikan kepada artis luar negara dan pertama untuk rakyat Malaysia,” katanya, anugerah itu pernah dimenangi Marian Rivera dan Rhian Ramos.

Selain itu, lagu duet mereka, Sa Iyo, berjaya bertahan selama lima bulan dalam carta tertinggi dua stesen radio paling popular Filipina.

Katanya, untuk masuk ke carta sana bukan perkara mudah kerana penyanyi popular di sana juga tidak mendapat peluang itu apabila terpaksa bersaing dengan lagu popular antarabangsa lain seperti Taylor Swift, One Direction dan ramai lagi.

“Saya juga terkejut mereka pilih saya. Mereka nampak saya lain dari lain terutama dari segi imej dan vokal yang dianggap ‘nigger’.

“Masa di televisyen, mereka tulis ‘Min Yasmin The Malaysian Diva’, sampaikan saya sendiri rasa segan sebab tahu di mana kedudukan saya berada. Saya rasa kerdil sangat!

“Saya tetap bersyukur kerana diberi penghargaan setinggi itu di sana. Pihak sana juga sudah membuat permintaan kami nyanyikan semula lagu Sa Iyo dalam bahasa Melayu, maknanya mereka terima bahasa kita,” katanya.

Min turut diberi keyakinan untuk berdiri sendiri tanpa perlu berduet dengan artis lain di sana. Kerana permintaan yang semakin meningkat, Min kini dalam proses menyiap­kan album solo penuh pertama berbahasa Tagalog.

Layanan kelas satu

Sebagai persediaan memikat hati peminat di Filina, Min mula pelajari lagu popular di Filipina. Dia turut berkongsi pengalaman di negara orang berbanding negara sendiri apabila menerima sambutan kelas satu.

Katanya, sambutan peminat di sana begitu hebat sampaikan dia terpaksa diiringi pengawal peribadi seramai enam orang walaupun sekadar untuk ke tandas.

“Layanan mereka lain macam. Kalau masyarakat kita masih mengekalkan adab sopan apabila bertemu artis kegemaran, mereka pula tidak kira tua atau muda mesti terjerit-jerit memanggil nama artis.

“Bagi mereka, penampilan saya mengagumkan. Kalau berjumpa, mereka berkerumun nak peluk dan cium. Sampaikan sudah ada peminat yang mula meniru cara saya berpakaian turban dan menyanyi semula lagu versi bahasa Melayu,” katanya.

Mula rasa ‘ketagih’ dengan sambutan itu, Min akui dia dan suami memulakan misi mencari rumah di sana sebagai tempat persinggahan.

Bagaimanapun katanya, ia belum cukup kuat untuk berhijrah terus ke negara itu. Antara sebab utama ialah kekangan mencari makanan halal dan harga barang yang mahal berbanding di negara sendiri.

“Mahu atau tidak, kena masak sendiri. Kos sara hidup di sana juga sangat tinggi. Bayangkan roti canai sekeping RM15, udang sekilo mencecah RM100 manakala ayam dan daging memang tidak disembelih cara Islam.

“Tapi bila difikirkan semula, alang-alang sudah separuh kaki di sana, baik diteruskan. Pendapatan di sana berlipat ganda sebab industri hiburan adalah nombor satu di sana.

“Apa sekalipun, Malaysia akan tetap di hati. Tidak mungkin saya akan tinggalkan terus semata-mata nak kejar populariti di sana,” katanya.

Dalam pada itu, biarpun menembusi pasaran Filipina satu kejayaan, dia tidak ralat apabila tidak diberi peluang membuktikan kemampuan di tanah air.

Baginya, dia enggan memperbesar-besarkan perkara itu kerana merasakan itu ketentuan-Nya. Dia akui ada hikmahnya kepada perjalanan kariernya sebelum ini, tapi yang pasti, istilah putus asa tidak akan wujud dalam dirinya.

Pada masa sama, Min meluahkan rasa bertuah kerana kejayaan diperoleh hasil didikan suami. Sebagai komposer berpengalaman lebih tiga dekad dalam industri, Julfekar banyak memberi tunjuk ajar dalam usaha mengukuhkan namanya.

“Sekarang saya sibuk mempromosikan album solo, Min Yasmin yang baru dilancarkan tahun lalu. Selepas itu saya akan sibuk merakam semula lagu dalam album 2 Voices ke bahasa Melayu sebelum melancarkan album solo di Filipina tahun depan.

“Semua ini rancangan suami yang lebih arif selok-belok industri hiburan. Dia mahu saya bukan saja dikenali dalam negara, malah juga di negara jiran,” katanya yang menjadi isteri Julfekar sejak 4 April 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:04 AM