PEMAIN Arsenal tidak memandang mudah saingan domestik. FOTO Getty.
AFP

London: Tumpuan Arsenal terarah sepenuhnya kepada Liga Perdana Inggeris tetapi pertahanan Gunners Calum Chambers berkata, mereka juga berpeluang muncul pasukan pertama dalam era moden menjulang Piala FA tiga kali berturut-turut.

Anak buah Arsene Wenger itu akan berdepan Sunderland pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Emirates hari ini, lapan bulan selepas menjulang piala berkenaan apabila mengalahkan Aston Villa 4-0 musim lalu.

Selepas menamatkan kemarau piala sembilan tahun dengan mengatasi Hull City 12 bulan sebelumnya, kekalahan terakhir Gunners dalam saingan Piala FA adalah pada Februari 2013.

Kelab utara London itu menduduki tangga teratas Liga Perdana dengan mengatasi Sunderland 3-1, Disember lalu sekali gus bermakna keyakinan Gunners untuk bertemu skuad kendalian Sam Allardyce itu pasti tinggi.

Ketika Liga Juara-Juara hanya akan bersambung bulan depan, peluang Arsenal menjadi kelab pertama sejak Blackburn Rovers menang tiga kali berturut-turut pada 1880-an tetap cerah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:27 AM