ADKINS

Manchester, United Kingdom: Pengurus Sheffield United Nigel Adkins percaya kedudukan pasukannya dalam divisyen tiga bukan penghalang untuk anak buahnya mencipta keputusan mengejutkan ketika menentang Manchester United pada pusingan ketiga Piala FA awal pagi esok.

Blades pernah muncul antara pencabar dalam beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini dan mereka layak ke separuh akhir Piala FA dua musim lalu selain turut berada dalam kelompok empat pasukan terakhir Piala Liga musim lalu.

Kedua-dua kejayaan itu hadir ketika dibimbing Nigel Clough dan Adkins yang menggantikan Clough, mahu mengikut jejak rakannya itu mengalahkan United di depan penyokong sendiri.

“Pada dasarnya, Manchester United tidak bermasalah untuk mengatasi pasukan dari Liga Satu tapi itu yang menariknya mengenai Piala FA, terutama apabila saingan berada pada pusingan ketiga,” kata Adkins.

“Pasti ada kejutan dan mengapa kami tidak boleh menciptanya? Tidakkah kami juga layak mengimpikan sesuatu?

“Ia adalah perlawanan yang menawarkan tiga keputusan. Kami amat berbangga jika memperoleh salah satu daripada dua keputusan positif.”

Adkins, 50, yang pernah membimbing Southampton menerajui Liga Perdana pada 2012, semakin hampir mencipta kegemilangan bersama Sheffield United apabila hanya tewas dua sepanjang lapan perlawanan dan menduduki tangga kelapan Liga Satu.

Adkins yang pernah membimbing Reading serta Scunthorpe, sedar Blades berdepan tugasan getir ketika menentang United dalam usaha memenangi piala berkenaan buat kali ke-12.

“Kami semua sedar ancaman yang bakal dihadirkan Manchester United,” katanya.

“Mereka mempunyai pemain dan pengurus hebat tapi kami perlu percaya dengan diri sendiri serta bermain tanpa rasa gentar.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:05 AM