PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr Claus Weidner (kiri) dan Raine pada pengumuman prestasi MBM 2015, semalam.

Kuala Lumpur: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mencatatkan sejarah dalam jualan kenderaannya apabila merekodkan peningkatan 56 peratus atau 10,845 unit tahun lalu berbanding 6,932 unit pada 2014.

Jualan segmen limosin bagi pemasangan tempatan seperti model C, E dan S Class menjadi penyumbang terbesar dengan pertumbuhan 75 peratus selain model lain seperti A-Class, GLA dan CLA.

Naib Presiden Kereta Penumpang MBM, Mark Raine berkata, model E-Class iaitu model hibrid diesel pemasangan tempatan pertama dijual 3,383 unit tahun lalu berbanding 2,212 unit pada 2014 manakala C-Class mencatatkan peningkatan 56 peratus kepada 2,697 unit berbanding dua tahun lalu.

“Model sulung S400L Hybrid pula mencatatkan jualan 1,909 unit tahun lalu dengan peningkatan 201 peratus berbanding 2014, sekali gus menyumbang jualan keseluruhan limosin pemasangan tempatan kepada 7,989 unit pada 2015,” katanya dalam pengumuman prestasi MBM 2015, di sini, semalam.

Syarikat ini turut mencatatkan pertumbuhan stabil bagi segmen kenderaan kompak dengan peningkatan kepada 21 peratus di mana A-Class berjaya dijual 832 unit dan GLA (816 unit) manakala CLA (959 unit), sekali gus menyumbang kepada jumlah keseluruhan kepada 2,811 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:02 AM