KAKITANGAN MPJ meninjau lokasi trek bagi memastikan kelancaran kejohanan.
Oleh Norfaisal Jahuri
sukan@hmetro.com.my

Jasin: Menjelang Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Asahan, pada 28 dan 29 November ini, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bertindak proaktif apabila membersihkan kawasan dan laluan perlumbaan untuk kemudahan peserta.

Yang Dipertua MPJ Hazudin Hashim berkata, pihaknya menyediakan jentolak, lori dan pekerja bagi melakukan kerja pembersihan terutama di kawasan pelepasan dan penamat di Kompleks Saujana Majlis Sukan Negara (MSN) Asahan.

“Pada peringkat awal, kami memberi tumpuan membersihkan kawasan berhampiran lokasi perlumbaan sebagai persediaan acara simulasi kejohanan, esok.

“Penganjur meminta kami melakukan pembersihan awal bagi membolehkan percubaan trek dilakukan Sabtu dan semua urusan berkenaan sudah selesai.

“Kerja pembersihan peringkat awal itu sudah dilakukan sejak awal hari ini (semalam),” katanya.

Hazudin berkata, pihaknya akan menempatkan pasukan pembersihan untuk tempoh seminggu hingga hari kejohanan.

Katanya, mereka akan menjalankan kerja pembersihan di kawasan laluan perlumbaan, parkir dan tempat permulaan serta penamat.

“Tempat tumpuan ramai seperti Laman Tiga Budaya dan Air Terjun Asahan turut dibersihkan,” katanya.

Beliau berkata, kerja membersihkan kawasan yang diliputi semak samun itu penting demi keselamatan pelumba.

“Kami tidak mahu sebarang masalah timbul akibat tumbuhan liar yang boleh menghalang laluan trek.

“Kami memberi jaminan masalah itu diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh seminggu sebelum kejohanan berlangsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:07 AM