ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Oleh Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Seorang penjenayah cedera ditembak di kaki oleh pengawal keselamatan, manakala dua rakannya sempat melarikan diri selepas cuba merompak premis perkhidmatan pengiriman dan pengurupan wang berlesen di Dataran Mentari, di sini, kira-kira 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an cedera di kaki kiri selepas ditembak oleh pengawal keselamatan premis terbabit menggunakan senapang patah.

Katanya, kejadian berlaku sewaktu solat Jumaat dan ketika itu hanya terdapat enam pekerja perempuan serta seorang pengawal lelaki di dalam premis terbabit.

"Siasatan awal mendapati terdapat tiga suspek memakai topi keledar bersenjatakan parang. Dua daripada mereka memasuki premis berkenaan, manakala seorang menunggu di luar.

"Selepas memecahkan pintu gril, dua suspek masuk ke dalam dan bertembung dengan pengawal keselamatan.

"Seorang daripada suspek melibas parang ke arah pengawal lelaki berkenaan, namun berjaya dielak. Pengawal berkenaan kemudian mengambil senapang patah dan menembak mangsa bagi mempertahankan diri," katanya ketika ditemui.

Mohd Zani berkata, suspek yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Katanya, pihaknya sedang mengesan dua rakan suspek yang melarikan diri menggunakan dua buah motosikal terbabit.

"Kita tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa suspek lagi dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup yang berada di kawasan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:41 PM