Reuters

London: Pengurus Manchester United Louis van Gaal (gambar) perlu memanfaatkan keseluruhan pemain skuadnya pada kunjungan ke Arsenal dalam saingan Liga Perdana, awal pagi Ahad walaupun krisis kecederaan membelenggu Old Trafford.

Sebelum ini, Arsene Wenger kerap berdepan masalah kehilangan pemain utama menjelang perlawanan besar, namun kali ini United pula yang tidak dapat menggunakan khidmat 12 pemain termasuk penjaga gol, David De Gea di Stadium Emirates.

United berdepan masalah di benteng akhir dengan empat pertahanan utama tidak dapat diturunkan dan pengurus dari Belanda, Van Gaal mungkin terpaksa memanggil pemain remaja Patrick McNair dan Tyler Blackett untuk mengekang aksi bekas rakan sepasukan, Danny Welbeck.

Penyerang England, Welbeck berada pada prestasi terbaik sejak perpindahan bernilai £16 juta (RM84.3 juta) ke Arsenal pada September dan sudah meledak 10 jaringan untuk kelab dan negaranya.

Arsenal meraih dua keputusan mengecewakan sebelum rehat untuk aksi antarabangsa apabila membiarkan Anderlecht bangkit mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam Liga Juara-Juara dan tewas 1-2 kepada Swansea City.

“Kami menentang United dan Borussia Dortmund di laman sendiri dan jika mendapat sokongan dari awal serta meraih keputusan baik, situasi akan berbeza,” kata kapten Arsenal Mikel Arteta.

Arsenal di kedudukan keenam dengan 17 mata manakala United mengekori rapat, kurang satu mata.

Pendahulu liga, Chelsea menanti kunjungan West Bromwich Albion esok dengan misi mengekalkan kelebihan empat mata berbanding Southampton, yang berada di kedudukan kedua.

Liverpool yang berada di kedudukan ke-11 dengan 14 mata selepas 11 perlawanan awal, bertandang menentang pasukan bergelut Crystal Palace pada Ahad.

Anak buah Brendan Rodgers berdepan memori pahit apabila mensia-siakan kelebihan tiga gol sebelum diikat 3-3 di Selhurst Park musim lalu sekali gus terpaksa melepaskan kejuaraan liga.

Keputusan seri dilihat tidak bagus untuk naib juara liga itu namun kemenangan di gelanggang sama musim ini mampu memberikan semangat pada masa yang tepat.

Pasukan di kedudukan kelima Swansea City bertandang menentang juara liga Manchester City esok dengan West Ham United yang berada di kedudukan keempat berdepan saingan sukar di Everton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:05 AM