Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) memperuntukkan pelaburan berjumlah RM100 juta tahun ini bertujuan mengukuhkan lagi portfolio pelaburan ekuitinya.

Pengarah Urusannya Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, pelaburan itu disasarkan kepada dua syarikat jenama francais terutama berkaitan sektor penjagaan kesihatan yang dilihat semakin berkembang ketika ini.

Menurutnya, PNS akan terus meninjau potensi pelaburan dalam ekuiti dengan fokus kepada aspek penjanaan pulangan lebih baik selain turut mengenal pasti risiko bagi setiap pelaburan dilaksanakan tahun ini.

“Kami akan mengenalpasti syarikat berpotensi dan mampu memberi manfaat kepada PNS sepanjang Januari ini di mana pada masa kini, kami sedang menilai beberapa syarikat bagi tujuan terbabit,” katanya pada sidang media PNS di sini, semalam.

Beliau berkata, 2016 adalah tahun mencabar bagi pasaran ekuiti dan perlu lebih berhati-hati dalam melakukan pelaburan dengan memilih atau melabur dalam syarikat modal pertengahan yang mampu menawarkan pulangan lebih tinggi.

“Sehingga kini, kami sudah mendapat pulangan ekuiti minimum kira-kira lapan peratus setahun dan sesetengahnya mampu mencapai antara 15 dan 20 peratus,” katanya.

Pada Oktober lalu, PNS membeli pegangan dalam sebuah syarikat jenama francais terkemuka iaitu Caring Pharmacy sebanyak 12.76 peratus manakala sebelum itu, turut melabur dalam syarikat BioAlpha yang terbabit dalam produk herba dan farmaseutikal.

Portfolio ekuiti dan hartanah adalah penyumbang utama kepada pendapatan PNS iaitu sebanyak 80 peratus manakala selebihnya daripada latihan dan francais. Sehingga November lalu, PNS sudah memperuntukkan RM192.5 juta dalam pelaburan ekuitinya.

Dalam masa sama, PNS turut memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi tujuan pelaburan hartanah pada tahun ini bertujuan menambahbaik aset hartanah sedia ada bagi meningkatkan nilai pulangan dan tambah nilai. Sehingga kini, PNS sudah pun melakukan pelaburan terhadap beberapa hartanah termasuk hartanah komersial di Bangi Gateaway.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 7:04 AM