MOHAMMED AL-NIMR

Riyadh: Adik ulama Syiah yang dipancung di Arab Saudi menyalahkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama kerana gagal menghalang pelaksanaan hukuman mati itu.

Kematian Sheikh Nimr al-Nimr mencetuskan ketegangan di Asia Barat dan memburukkan hubungan diplomatik antara Saudi dan sekutunya dengan Iran.

Dalam wawancara dengan Yahoo News, Mohammed Al-Nimr berkata: “Saya kecewa kerana kerajaan Amerika tidak berusaha menghalang pembunuhan abang saya walapun tahu bahaya dan tindak balas terhadap tindakan itu.

“Kami meminta Presiden Amerika, selaku rakan Saudi, campur tangan. Tetapi, tiada usaha yang dilakukannya.”

Menurutnya, dia mendesak pegawai konsul Amerika di Dharan (Arab Saudi) untuk meminta Obama menyuarakan bantahan terhadap hukuman itu, tetapi Washington hanya mengeluarkan kenyataan biasa menerusi Jabatan Negara.

Yahoo News melaporkan, Mohammed, ahli perniagaan juga adalah tokoh politik Syiah di timur Saudi dan anaknya, Ali al-Nimr turut berdepan dengan hukuman mati di negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 6:47 AM