POLIS Iran berkawal di sekitar kedutaan Arab Saudi yang dibakar.
Susunan Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Ia fasa konfrontasi paling teruk antara Arab Saudi dengan Iran dalam tempoh 30 tahun. Namun, perpaduan beberapa negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan terbaru, Kuwait mengambil keputusan menutup atau menurunkan taraf misi diplomatik masing-masing di Iran sangat penting kepada Riyadh.

Teheran sering mempunyai kaitan dengan keganasan dan kerap membuli negara yang tidak bersetuju dengannya, manakala Riyadh bertindak balas melalui politik dan hubungan antarabangsa.

Ketika kepulan asap masih kelihatan dari kedutaan Arab Saudi di Teheran kerana dibakar ‘penunjuk perasaan’ Iran, jurucakap Kementerian Luar negara itu menyuarakan rasa terkejut dengan tindakan Arab Saudi menarik balik wakilnya dan menutup bangunan terbakar itu!

Bercakap seolah-olah mewakili negara yang aman, jurucakap itu mendakwa tiada yang boleh menjustifikasi keputusan Arab

Saudi itu walaupun hakikatnya bangunan kedutaan itu dibakar di hadapan polis Iran yang enggan campur tangan.

Arab Saudi menutup kedutaannya di Teheran dan menarik balik utusannya kerana setiap kali berlaku krisis antara kedua-dua negara itu, Iran akan menyasarkan duta dan misi diplomatik.

Iran memiliki sejarah paling buruk dalam isu ini. Arab Saudi secara khususnya ada pengalaman buruk dengan negara berpenduduk majoriti berfahaman Syiah itu apabila seorang diplomatnya di Karachi dibunuh pembunuh upahan Iran. Sehingga kini Pakistan masih menuntut Iran menyerahkan pelakunya, tetapi langsung tidak dilayan.

Iran juga merancang letupan bom di kedutaan Arab Saudi di Beirut, Lubnan. Pada tahun 2011, pegawai Amerika Syarikat mendedahkan plot Iran untuk membunuh Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat Adel al-Jubeir dan pelakunya didapati bersalah dan dipenjarakan.

Bekas Duta Arab Saudi ke Lubnan Abdulaziz Khoja pernah diancam sehingga memaksanya pulang.

‘Penunjuk perasaan’ Iran sebelum ini pernah membunuh seorang pekerja Arab Saudi di dalam kedutaan di Iran dengan menolaknya dari tingkat tiga, manakala seorang lagi diplomat diserang dan matanya dicungkil keluar.

Peranan diplomat sangat penting ketika berlaku krisis, tetapi Teheran tidak memberi peluang kepada utusannya untuk bekerja.

Kebakaran terbaru di kedutaan Arab Saudi didakwa dilakukan mereka yang mempunyai kaitan dengan pihak keselamatan Iran yang berpura-pura menjadi penunjuk perasaan.

Tiada siapa percaya mereka penunjuk perasaan kerana ia berlaku berulang kali. Setiap kali Iran tidak bersetuju dengan sebuah negara, ia mengepung kedutaan negara terbabit menerusi protes, serbuan, rampasan dan serangan terhadap kakitangannya.

Arab Saudi sudah menjadi sasaran tentangan Ayatollah Khomeini sejak 1979 apabila pemimpin itu mengambil alih tampuk pemerintahan Iran.

Perkara ini dapat dilihat melalui prinsip dipegang pengikut Khomeini iaitu mereka adalah ‘penyokong Allah’ (Ansarullah), ‘parti Allah’ (Hizbullah), ‘tangan Allah’ dan ‘di bawah perintah Allah’. Semua ini frasa dan nama yang sudah dikenali berkait rapat dengan aktiviti Iran.

Berikut senarai serangan Iran terhadap Arab Saudi:

Insiden sepanjang 1980-an:

Sekumpulan penunjuk perasaan Iran melakukan tunjuk perasaan di hadapan Masjid Nabawi di Madinah dengan menjulang gambar Khomeini.

Seramai 21 jemaah haji Iran ditahan kerana memiliki senjata dan bahan letupan di Arab Saudi.

Penunjuk perasaan menyerbu kedutaan Arab Saudi dan Kuwait di Teheran seterusnya melakukan pembakaran, menyerang dan menahan diplomat Arab Saudi Reda al-Nuzha.

Kumpulan militan Hizbullah al-Hejaz yang setia kepada Iran, membakar pelantar minyak di Ras Tanura, timur Arab Saudi.

Hizbullah al-Hejaz menyerang loji petrokimia Sadaf di bandar perindustrian Jubail, timur Arab Saudi.

Jun 1996:

Hizbullah al-Hejaz membakar beberapa kediaman di Khobar, timur Arab Saudi manakala Ahmed al-Mughassil, pemimpin dan dalang serangan itu melarikan diri ke Iran.

Ogos 2009:

Pemimpin tertinggi Iran Khamenei dan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad melancarkan serangan melalui media secara terang-terangan terhadap Riyadh disebabkan konfrontasi Arab Saudi terhadap pencerobohan Houthi di sempadannya dengan Yaman.

Mac 2011:

Pemimpin tertinggi Iran mengguna hasutan melalui retorik agama untuk me­nyerang Arab Saudi selepas tentera Pertahanan Semenanjung memasuki Bahrain berikutan permintaan Manama untuk menghalang cubaan rampasan kuasa yang didalangi Iran di bawah muslihat Arab Spring.

April 2015:

Khamanei menjadikan ucapan keagamaannya berunsur politik bagi menentang Arab Saudi selepas Riyadh melancarkan ‘Operation Decisive Storm’ terhadap sekutu Iran, pemberontak Houthi di Yaman.

Januari 2016:

Ejen Pengawal Revolusi Iran menyerang kedutaan Arab Saudi di Teheran dan konsulat Arab Saudi di Mashhad. Ia berlaku selepas rejim Iran mengancam kerajaan Saudi yang melaksanakan hukum bunuh ke atas ulama Syiah, Nimr al-Nimr yang juga pemimpin militia Awamiyah di timur Arab Saudi. Yang peliknya, Iran mengabaikan fakta bahawa 40 anggota al-Qaeda turut dihukum bunuh bersebelahan ulama itu.

Catatan di atas sebahagian ringkasan sedekad hubungan Arab Saudi dengan rejim Iran. Tindak balas segera Arab Saudi ialah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran, mengusir misi diplomatik Iran dari Arab Saudi, meng­gantung perkhidmatan kapal terbang Saudi ke Iran, menggantung semua bentuk perdagangan dengan Iran dan melarang penduduknya melancong ke negara itu.

Difahamkan, Arab Saudi masih ada banyak tindak balas untuk dihalakan

ke negara yang berlagak sombong itu.

Hubungan tegang de­ngan jiran bukan sesuatu yang dimahukan. Tetapi apa yang boleh dilakukan jika mempunyai jiran yang percaya menyalahgunakuasa terhadap anda tanggungjawab yang mesti mereka dukungi?

Kini masa untuk Arab Saudi bertindak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:01 AM