KARYA mengisahkan kekuasaan dan politik.
Oleh Nor Shafinaz Sari
rencana@hmetro.com.my


Penggunaan pelbagai material yang tidak hanya terbatas kepada cat dan berus menjadikan karya dihasilkan Amir Zainorin lebih menarik dan secara tidak langsung menunjukkan kreativitinya sebagai anak seni yang makin matang.

Malah, beliau menggunakan peluang mengadakan pameran di Balai Seni Lukis Melaka untuk berkongsi hasil karyanya kerana namanya masih dianggap asing kepada peminat seni tempatan.

Kini menetap di Denmark, anak kelahiran Johor ini mendapat perhatian penggiat seni di negara berkenaan melalui hasil seninya, namun dia dianggap pendatang baharu dalam dunia seni tempatan.

Dia mula aktif dalam bidang seni pada 1995 selepas bertemu artis pop Jeri Azhari di Kuala Lumpur apabila menampilkan karya seni pelbagai medium seperti fotografi, lukisan, persembahan dan seni instalasi serta mempunyai kepakaran dalam semua kaedah seni.

Kebanyakan hasil karya artis yang lahir pada tahun 1963 ini menampilkan tema identiti, politik dan sosio-ekonomi yang diterjemah­kan kepada bentuk karya seni berdasarkan pengalamannya yang pernah berhijrah ke pelbagai tempat termasuk Melaka.

Menerusi ‘Balik Kampung’ Amir komited dengan pameran di Melaka ketika ini berikutan ditawarkan sendiri oleh kerajaan negeri untuk berkongsi hasil karyanya dengan penduduk di negeri itu yang juga tempat kelahiran ibunya.

Subjek yang bercirikan ‘rumah’ dan mencari asal-usul berputik dari sejarah kehidupannya sendiri, malah Balai Seni Lukis Melaka terletak berdekatan kampung tempat dia dibesarkan.

Penghijrahan demi penghijrahan dalam hidupnya membuatkan dia sering bertanya di mana dan apa erti ‘rumah’ dalam hidupnya.

“Selain konsep balik kampung, dua tema seperti identiti dan kuasa menarik perhatian saya sebagai inspirasi untuk pameran berkenaan.

“Instalasi batu api dan lukisan duit kopi diambil dari pepatah Melayu dan simpulan bahasa yang diilhamkan berdasarkan pencarian identiti serta asal-usul saya sendiri.

“Karya Batu Api membolehkan saya bekerjasama dengan pelajar tadika, sekolah rendah dan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka kampus Lendu manakala Duit Kopi mengenai kuasa yang boleh dibeli dengan hadiah dari segi wang ringgit,” katanya.

Pameran itu turut menampilkan karya arca keris berbentuk pemukul kriket yang menyentuh sejarah rakyat Malaysia selain instalasi, asemblaj, lukisan dan video ‘The Migration’ yang mencerminkan isu pelarian serta penghijrahan penduduk ke negara lain untuk mencari penghidupan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:00 AM