BAYI (gambar kecil) dan kanak-kanak itu sedang tidur ketika anggota bomba menyelamatkan mereka. FOTO ihsan Bomba
Oleh Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Klang : Bayi perempuan berusia 10 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terselamat selepas terperangkap hampir 40 minit di dalam kereta ibunya di Jalan Iskandar, Bukit Kapar, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, ibu mangsa difahamkan keluar untuk membeli makanan di tepi jalan namun dia terkunci keretanya dari dalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, ibu mangsa bersama orang ramai cuba membuka kereta terbabit selama 30 minit sebelum membuat keputusan memanggil anggota bomba

Menurutnya, tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba Sungai Pinang dikejarkan dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 3 petang.

"Anggota bomba mengambil masa lima minit untuk membuka kenderaan itu dengan peralatan khas tanpa memecahkan tingkap kenderaan.

"Bayi dan kanak-kanak itu sedang tidur ketika anggota bomba membuka pintu kenderaan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 7:44 PM