LEE (kanan) menerima cenderahati daripada Wan Ahmad Najmuddin (kiri) sambil diperhatikan Aishah Mohamad (dua kiri) dan Long (kanan). FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Program Trim N Fit (langsing dan cergas) dalam membantu meningkatkan imej pihak berkuasa terbabit di mata masyarakat.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha itu perlu disokong memandangkan ia dilihat berkesan dalam membudayakan gaya hidup sihat kalangan anggota terbabit.

"Saya mengalu-alukan kenyataan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah menerusi usaha melaksanakan program langsing dan cergas.

"Saya anggap ini program yang amatbaik kerana membantu meningkatkan imej polis yant menjalankan tugas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Lee mengulas mengenai usaha PDRM mewajibkan warga pasukan itu lulus ujian Indeks Jisim Badan (BMI) serta beberapa ujian kesihatan sebagai prasyarat kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan.

Ini berikutan statistik tidak rasmi menunjukkan lebih 11,000 anggota PDRM mengalami obesiti dan jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ada yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu Lee hadir untuk mengadakan lawatan kunjung hormat dan sesi perbincangan antara Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Hadir sama menyambut rombongan disertai Pengerusi MCPF Johor, Datuk Freddie Long Hoo Hin adalah Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Aishah Mohammad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:18 PM