TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my


Seremban: Lelaki warga India dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dikenakan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol dan mencuri barangan milik rakan sekerjanya, tahun lalu.

Hukuman itu ditetapkan Hakim Kamarudin Kamsun selepas mendengar rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan sepanjang prosiding kes berkenaan.

Sebelum ini, tertuduh S R Dinesh Kumar, 34, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dua pertuduhan merogol dan mencuri barang milik seorang wanita warga Pakistan di pusat jagaan orang tua, Taman Murugesu, di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol wanita terbabit di bilik di pusat jagaan berkenaan, kira-kira 12.30 tengah malam pada 27 Jun 2015.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, tertuduh didakwa mencuri wang RM35, komputer riba dan telefon bimbit milik mangsa di lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 4:55 PM