Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Jika harus memilih hanya seorang di antara dua yang terbaik, pastinya sesiapa pun berada dalam dilema.

Jika hanya paras rupa menjadi penentu keputusan, industri seni tempatan akan terus dilihat sebagai bidang yang mengamalkan diskriminasi terhadap individu mahupun golongan bersandarkan bakat sepenuhnya tanpa bergantung ciri 'X-Factor' yang lain.

Justeru, keputusan untuk memilih siapakah protege terbaik mampu menggalas tugas yang diamanahkan selain berupaya meraih undian penonton, memerlukan penghibur terkenal Zainal Abidin, Amy Search, Ella, Ajai, Mas Idayu dan Dayang Nurfaizah selaku Mentor dalam program Mentor Legend 2014 di TV3 menggariskan beberapa kriteria.

Berdasarkan persembahan 12 peserta Mentor Legend 2014 pada Showcase Mentor Lagend di Subang Jaya, baru-baru ini, sesiapapun layak diserap sebagai protege kerana memberikan persembahan yang baik walaupun pertama kali muncul di khalayak ramai.

Zainal mahu ambil kedua-dua protege

Diwakili protege yang kedua-duanya gadis iaitu Wada, 18, dari Kuala Lumpur dan Nadeera, 21, dari Mersing , Johor, Zainal Abidin berpendapat pihak penganjur iaitu TV3 harus melonggarkan syarat bagi membenarkan mentor memilih dua protege sekiranya mereka benar-benar bagus.

"Bagi saya, Wada dan Nadeera memang bagus. Kedua-duanya ada kekuatan sendiri. Jika pada malam penentuan nanti, saya tetap akan menyerap masuk kedua-duanya sekali pun terpaksa merayu kepada pihak produksi," katanya.

Zainal berkata, apabila mereka memilih dua protege ketika sesi uji bakat, itu bermakna mereka adalah yang terbaik. Mereka sudah berkongsi ilmu, berlatih dan semakin rapat.

"Jadi untuk saya menyingkirkan salah seorang satu keputusan yang tak mampu saya lakukan kerana mereka memang berbakat," katanya.

Penghibur yang sinonim lagu Hijau itu berkata, pembabitannya dalam Mentor kali ini untuk melahirkan penghibur yang bukan saja layak menembusi pasaran antarabangsa malah paling utama diterima peminat bukan Melayu di negara ini.

"Saya pernah membuktikan dulu, penyanyi Melayu mampu diterima bangsa lain di negara ini. Begitu juga dengan Datuk Sheila Majid," katanya.

Ajai mahu penyanyi untuk anugerah

Komposer dan penerbit album terkenal, Ajai yang juga mentor kepada Fahmi, 26, dan Mal Imran, 23, mahu melahirkan penyanyi yang bukan saja layak menjadi artis rakaman tetapi juga penyanyi yang boleh dipertandingkan untuk meraih anugerah.

"Ada dua kategori penyanyi. Satu ialah penyanyi rakaman dan satu lagi penyanyi rakaman yang mencapai 'standard' anugerah. Penyanyi kategori ini saya yakin mempunyai masa depan yang cerah bukan saja dalam industri muzik tempatan bahkan luar negara," katanya.

Amy Search nak cari pelapis penyanyi rock

Amy Search memilih Sarah, 19, dan Amy, 24, kerana melihat jiwa rock yang ada dalam diri mereka.

"Setiap mentor ada arah mereka sendiri. Saya pula mahu mencari pelapis kepada penyanyi rock sedia ada supaya legasi irama ini berterusan.

"Bagi saya sama ada Sarah dan Amy, peserta terbaik ketika uji bakat dilakukan. Yang melayakkan mereka nanti selain vokal adalah 'attitude' mereka sama ada disenangi atau tidak serta minat untuk belajar," katanya.

Mas Idayu tak mahu garang-garang lagi

Mas Idayu yang sebelum ini dikenali dengan karakter mak tiri, untuk musim Mentor kali ini dia mahu menggunakan pendekatan yang diplomasi.

Pernah menjadi Mentor kepada penyanyi Black yang satu-satunya bintang keluaran program itu paling berjaya dan diterima ramai.

Justeru, adakah Paan 22, dan Daus, 19, mampu mengulangi sejarah Black?

"Saya bukan mahu mencari klon Black. Dia sudah ada tempat tersendiri dalam industri muzik dan saya berbangga dengannya.

"Untuk Mentor Legend 2014 ini, saya tak mahu garang-garang lagi, mungkin perkataan yang tepat adalah tegas. Lagipun kedua-dua protege yang saya pilih ini boleh menyanyi dan bermain muzik.

"Cuma di dalam Mentor, saya mahu melahirkan bintang yang 'versatile' kerana setiap undangan nyanyian lebih-lebih lagi undangan daripada pihak istana, lagu-lagu yang dinyanyikan adalah irama tradisional seperti asli dan keroncong.

"Justeru, saya mahu protege saya menjadi penyanyi versatil meskipun kecenderungan mereka pada muzik tertentu," katanya.

Ella dan Dayang harap protege berikan yang terbaik

Bagi Ella dan Dayang pula, penentuan untuk memilih peserta terbaik hanya akan terjawab pada episod 'battle' pada 30 November dan 7 Disember nanti.

Bakal bersiaran jam 9 malam setiap Ahad di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Ella diwakili Aina, 21, dari Seremban dan Putera, 22, dari Cheras, Kuala Lumpur.

Dayang pula memilih peserta yang kedua-duanya berasal dari Sabah iaitu Azmil, 22. dan Alessandra, 20.

Sementara itu, penerbit Mentor Legend 2014, Ahmad Saifulizam berkata, setakat ini pihaknya kekal dengan format asal iaitu membenarkan mentor mempunyai seorang protege saja.

"Sekiranya kedua-dua protege beraksi dengan baik dan mentor sukar membuat pilihan, inilah elemen menarik dalam Mentor Legend 2014. Walau bagaimanapun apa yang ditetapkan pihak produksi setakat ini masih berpaksi pada format yang sama kerana itu kandungan asal program Mentor sejak dulu," katanya

Pentas pertandingan atau episod 'battle' akan bermula pada 30 November ini di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Kekal dengan pemarkahan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus daripada juri awam, Mentor Legend 2014 turut menampilkan Awal Ashaari selaku hos program, Zuan Azmi bertindak selaku hos sebalik tabir dan belakang pentas manakala penyanyi Shiha menggalas tugas selaku hos 'Jurnal Mentor Legend'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:04 AM
Skip this ad x