LOKASI tragedi bot panjang yang karam di Sungai Rajang, Belaga. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Rizal Abdullah
Mohd.rizal@hmetro.com.my


Miri: Mayat mangsa terakhir dalam tragedi bot karam di Sungai Rajang, Belaga, 22 Disember tahun lalu ditemui pagi tadi.

Mangsa, Sumitasen Thomas, 15, ditemui oleh penduduk kampung 7 pagi tadi berdekatan rumah panjang Long Pawah, lebih 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Melay Tingom berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat mangsa itu.

Sebelum ini, status Sumitasen diklasifikasikan sebagai orang hilang selepas operasi mencari dan menyelamat(SAR) dihentikan pada 29 Disember tahun lalu.

Pada 22 Disember tahun lalu, bot yang membawa sembilan penumpang karam pada 7 malam.

Empat wanita lemas, manakala lima mangsa menyelamatkan diri.

Semua penumpang dikatakan dari pekan belaga ke kediaman mereka di Long Pawah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 11:35 AM