Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Shah Alam: Lelaki yang parah dipercayai ditetak pada bahagian peha dan tangan ditemui berhampiran jengkaut terbakar berhampiran tapak pembinaan di Seksyen 13, Shah Alam, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa berusia 50-an diselamatkan anggota bomba yang menerima maklumat mengenai kebakaran jentera itu pada 4.14 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, ketika operasi pemadaman dijalankan, anggota bertugas terdengar suara lelaki menjerit meminta pertolongan.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian dalam keadaan berlumuran darah.

"Pemeriksaan mendapati tangan kanan dan peha kirinya hampir putus dipercayai ditetak.

"Lelaki terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 10:48 AM