IBRAHIM
AP

Teheran: Iraq semalam menawarkan diri sebagai orang tengah untuk meredakan ketegangan antara Arab Saudi dan Iran yang semakin memburuk selepas pelaksanaan hukuman mati terhadap ulama Syiah yang disusuli serangan ke atas dua pusat diplomatik Saudi di republik Islam itu.

Bagaimanapun, tawaran Menteri Luar Iraq, Ibrahim al-Jaafari yang dibuat pada sidang akhbar di ibu negara Iran itu, turut merujuk kepada pelaksanaan hukuman mati ulama Syiah Sheikh Nimr al-Nimr sebagai ‘jenayah,’ sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Arab Saudi akan mempertimbangkan tawaran Baghdad itu.

Susulan pelaksanaan hukuman mati pada Sabtu lalu itu, sesetengah negara Arab Sunni mengikuti jejak Arab Saudi untuk memutuskan hubungan dengan Iran, sementara negara lain lebih berhati-hati membuat kenyataan bertujuan untuk menenangkan keadaan.

Arab Saudi dan sekutunya berkata, Sheikh Nimr dijatuhi hukuman selepas dibicarakan dan dihukum mati secara adil mengikut undang-undang negara itu.

Bercakap bersama Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, Ibrahim berkata, kedudukan Iraq yang terletak di tengah-tengah Asia Barat membolehkan ia memainkan peranan untuk cuba ‘mengurangkan ketegangan.’

“Tanggungjawab ini diberikan kepada kami dan sejak awal lagi kami aktif berusaha mengurangkan ketegangan bagi mengelakkan bencana berlaku yang boleh memberi kesan kepada seluruh rantau ini,” katanya.

Russia turut menawarkan untuk menjadi orang tengah, walaupun masih belum jelas sama ada Arab Saudi dan Iran sudah memberi maklum balas mengenai cadangan terbabit.

Sementara itu, Mohammad Javad Zarif menyalahkan Arab Saudi kerana mengeruhkan lagi keadaan.

“Kami menerima semuanya dengan keluhuran dan bermaruah, malangnya negara jiran Arab Saudi tidak bertindak balas sewajarnya. Sikap provokasi mereka mesti dihentikan,” katanya.

Pertelingkahan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi bermula Sabtu lalu, apabila negara itu menjatuhi hukuman mati ke atas Nimr dan 46 lagi yang disabitkan kesalahan keganasan dalam pelaksanaan hukuman mati paling ramai serentak sejak 1980.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:52 AM