HAMILTON (kiri) tak rela terlepas mahkota kepada Rosberg.
AFP

Abu Dhabi: Lewis Hamilton melangkah ke aksi penutup musim di Abu Dhabi hujung minggu ini sambil menyedari dia begitu hampir dengan gelaran juara dunia buat kali kedua, tetapi harapan itu tidak mustahil berkecai.

Pelumba Britain berusia 29 tahun itu mendahului rakan sepasukan dari Mercedes, Nico Rosberg dengan kelebihan 17 mata, situasi yang menyaksikan salah seorang daripada pelumba berkenaan bakal bergelar juara buat kali pertama sejak 1955.

Jika kedudukan semasa diambil kira, Hamilton sudah tentu dimahkotakan selaku juara bersama jentera Mercedes tidak kira apakah keputusan dilakar Rosberg pada perlumbaan terakhir.

Tetapi musim ini, pengenalan mata berganda untuk pemenang perlumbaan terakhir menyaksikan Hamilton mungkin berputih mata, sama seperti di Brazil 2007 dan Abu Dhabi 2010.

Pada 2008, dia memenangi gelaran apabila berjaya memintas pelumba lain di selekoh terakhir Grand Prix Brazil dan ia kekal menjadi penamat paling dramatik.

Hujung minggu ini, hujan mungkin mengganggu kelancaran perlumbaan dan Mercedes mempunyai sebab lain untuk berasa bimbang, kemungkinan jentera yang dipandu Hamilton serta Rosberg mengalami masalah teknikal kerana ia pernah menjejaskan mereka sebelum ini.

“Sudah tentu jika jentera Lewis mengalami kerosakan, ia sangat mengecewakannya,” kata ketua pasukan, Tito Wolff.

“Kami mahu perlumbaan ini tamat dengan adil dan bukannya disebabkan salah seorang daripada mereka berdepan masalah teknikal. Kami akan membekalkan mereka jentera yang berdaya saing.”

Berdasarkan kepada keadaan semasa, Hamilton melangkah ke perlumbaan 55 pusingan musim ini selaku pilihan apabila menang lima daripada enam perlumbaan terakhir. Di Brazil, Rosberg mengatasi Hamilton dan ia kejayaan pertamanya sejak Grand Prix Jerman, Julai lalu.

Kemenangan itu melonjakkan catatan kemenangan Rosberg kepada lima berbanding 10 yang dicatat Hamilton.

Hamilton bagaimanapun mengetuai senarai pelumba dengan kelebihan 17 mata berbanding Rosberg.

“Saya tidak boleh terlalu selesa pada perlumbaan hujung minggu ini kerana ia menawarkan 50 mata,” katanya. “Tidak ada sesiapa boleh menduga apa yang akan berlaku dan saya mahu memastikan kejayaan milik saya.”

Kemenangan akan melonjakkan nama Hamilton selaku juara manakala dalam usaha untuk bergelar juara dunia, Rosberg mengharapkan rakan sepasukannya itu gagal menduduki sekurang-kurangnya tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:03 AM