ANGGOTA Polis Trafik mengeluarkan saman selepas pemeriksaan keatas motosikal yang ditahan 1 Januari lalu. FOTO arkib NSTP Adnan Ibrahim
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Polis Trafik Johor sedang memburu 31,110 pesalah trafik di negeri yang melakukan pelbagai kesalahan trafik sejak tahun lalu membabitkan nilai RM9.3 juta.

Ketua Turus Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Johor, Superintendan Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada pemilik waran melunaskan saman tertunggak itu.

"Kami Polis Trafik Johor meminta pemilik waran tangkap untuk menjelaskan saman tertunggak itu bagi mengelak tindakan undang-undang pelbagai kesalahan jalan raya dilakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, selain Ops Warta, Trafik Johor juga melancarkan Ops Mabuk, Ops Halang dan Ops Rempit bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Pada masa sama katanya, 43,000 saman tertunggak warga Singapura dicatatkan untuk tempoh dua tahun membabitkan jumlah kira-kira RM6.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 2:24 PM