Oleh Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Polis menepis dakwaan terdapat anggota yang bersekongkol dalam kes jenayah samun membabitkan pelancong lelaki warga Jepun di Kampung Air, Selasa lalu, sehingga mencetus kontroversi di kalangan pengguna laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, berlaku sebenarnya ketika kejadian samun terbabit, seorang anggota polis daripada bahagian narkotik yang sedang menjalankan operasi Op Tapis di Kampung Air, cuba tampil membantu mangsa yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Bina Badan Asian itu dengan menunjukkan kad kuasa dan memujuknya untuk membuat laporan di balai berdekatan.

"Dalam kejadian kira-kira 3 petang Selasa lalu itu, mangsa yang berusia 34 tahun dikatakan mengunjungi sebuah penginapan di kawasan berkenaan sebelum dompetnya disamun oleh empat lelaki.

"Mangsa kerugian RM1,400 dan dua mata wang asing masing-masing bernilai AS$65 (RM283) serta 10,000 Yen (RM367) dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pengadu, pihaknya kemudiannya memberkas semua suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 34 tahun yang didapati terbabit dalam kes itu selain merampas semula wang tunai milik mangsa.

Chandra berkata, kes berkenaan dianggap selesai dan percayai kontroversi itu wujud memandangkan mangsa terserempak dengan anggota polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu lalu beranggapan mereka (anggota polis) turut bersekongkol dalam kes samun berkenaan.

"Selepas kejadian itu, mangsa turut memuatnaik status dan video di laman Facebooknya sehingga menjadi viral di kalangan pengguna laman sosial.

"Polis meminta kerjasama orang awam untuk segera berhenti sensasikan perkara ini memandangkan kejadian itu adalah salah faham sahaja ditambah lagi dialek bahasa Inggeris mangsa sukar difahami ketika kejadian terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya mengucapkan tahniah kepada IPD Kota Kinabalu atas penahanan lima suspek yang dipercayai terbabit dalam kes samun warga Jepun dan tiada polis yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 11:57 AM